Karya tempatan semakin dapat tempat dalam lelongan seni negara, pembeli seni anak muda juga meningkat


  • Bizz
  • Sabtu, 25 Jan 2025

Walaupun HBAA mempunyai permulaan perlahan pada 2024, jualannya meningkat secara berterusan dalam lelongan yang diadakan sepanjang tahun lalu.

PASARAN seni global terus berdepan kelembapan dengan rumah lelongan terkemuka Christie's, Sotheby's, Phillips dan Bonhams menyaksikan jumlah jualan mereka menurun sebanyak 26 peratus pada separuh pertama 2024 daripada tempoh sama tahun lalu, menurut laporan Art Basel dan UBS.

Laporan itu turut mendedahkan bahawa bilangan individu bernilai tinggi (HNWI) merancang untuk membeli karya seni dalam tempoh 12 bulan akan datang menurun kepada 43 peratus daripada 50 peratus pada 2023.

Pengarah salah satu rumah lelongan seni terkemuka di Malaysia, Henry Butcher Art Auctioneers (HBAA), Polenn Sim berkata, pasaran seni Malaysia turut merasai kesan agak serupa.

BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim

BACA LAGI: Mahu orang Sabah dapat 'vinyl' pada harga mampu milik, jurutera penyelenggara helikopter buka kedai piring hitam di Kinarut

"Jualan lelongan kami memuncak pada RM11.6 juta dalam tempoh setahun semasa tempoh perintah kawalan pergerakan.

“Orang ramai terperangkap di rumah, jadi minat beralih ke arah memperoleh lukisan dikagumi di rumah mereka sendiri. Mereka juga tidak boleh membelanjakan wang untuk perjalanan, jadi terdapat lebih banyak wang untuk membeli seni.

Bagaimanapun, tahun selepas sekatan ditarik balik, jumlah jualan jatuh kepada RM8 juta,” katanya.

Polenn berkata, walaupun HBAA mempunyai permulaan perlahan pada 2024, jualannya meningkat secara berterusan dalam lelongan yang diadakan sepanjang tahun lalu.

Pada akhir tahun lalu, ia menampilkan kira-kira 245 lot karya seni Malaysia dan Asia Tenggara yang merangkumi pelbagai medium, ekspresi dan gaya.

Art Expo - presentation of painting to Star

Polenn (kiri) bersama bapanya yang merupakan salah seorang pengasas HBAA.

Antaranya ialah karya adiguru batik, mendiang Datuk Chuah Thean Teng; pelukis terkenal, Datuk Ibrahim Hussein dan artis moden terkenal seperti Jolly Koh, Yusof Ghani dan Awang Damit Ahmad.

"Kualiti karya seni untuk edisi ini patut diberi perhatian," kata Polenn.

"Ini bersama-sama dengan tawaran permulaan sangat menarik dan persekitaran ekonomi keseluruhan yang menggalakkan, menjadikannya peluang yang sesuai untuk pengumpul untuk memperoleh barangan berkualiti."

Buka jalan industri seni tempatan

HBAA ditubuhkan pada 2009 oleh Long Tian Chek, Lim Eng Chong dan bapa kepada Polenn, Datuk Vincent Sim.

Menyedari berlakunya kekurangan pasaran seni sekunder yang kukuh dan telus sehingga menghalang pertumbuhan bidang pengumpulan dan pelaburan seni Malaysia, firma perunding hartanah Henry Butcher Malaysia berusaha untuk menyediakan ruang tambahan untuk pembelian serta penjualan karya seni.

"Henry Butcher Malaysia mempunyai lesen lelongan, manakala keluarga saya mempunyai pengetahuan seni dan kenalan dalam seni," jelas Polenn.

HBAA mengadakan lelongan seni profesional pertamanya pada 2010 dan memperoleh RM1.7 juta hasil jualan.

Pada tahun berikutnya, jualan lelongnya mencecah RM3.17 juta.

"Menjelang 2012, kami melakukan lelongan dua kali setahun, dan beberapa rumah lelong lain mula ikut serta.

"Ekosistem seni di sini memerlukan rumah lelong dan kami mempunyai keistimewaan untuk menjadi perintis," ujarnya.

Interview with veteran artist Awang Damit, who will be creating a custom painting to auction at Make-A-Wish Malaysia's WishBall 2024 in collaboration with Henry Butcher Art Auctioneers. —YAP CHEE HONG/The Star

Awang Damit Ahmad bersama karya lukisannya.

Dalam tempoh 15 tahun sejak penubuhannya, HBAA telah melelong lebih 3,600 keping karya seni pada harga kira-kira RM96 juta.

Ia juga menjalankan penilaian seni untuk syarikat seperti Malayan Banking Bhd, HSBC, Khazanah Nasional Bhd dan DiGi, selain menganjurkan pameran solo untuk artis Malaysia seperti Awang Damit, Yusof Ghani, Jolly Koh dan Rafiee Ghani.

"Salah satu objektif utama kami sejak awal adalah untuk mengendalikan dan mempromosikan seni Malaysia," kata Sim, sambil menambah bahawa 90 peratus daripada karya dilelong adalah hasil seni Malaysia.

Satu lagi aspek teras menjadi etos HBAA ialah komitmen terhadap piawaian ketelusan dan integriti tertinggi.

"Kami berusaha sedaya upaya untuk memastikan karya yang kami sertakan adalah sahih, asli dan tulen.

"Dalam industri khusus seperti seni, ia adalah mengenai mendapatkan kepercayaan pelanggan," katanya.

Menonjolkan artis tempatan

Ketika senario seni Malaysia terus berkembang, Polenn berkata, minat tempatan terhadap gaya dan genre seni telah berubah dan berkembang dengan ketara.

"Ketika kami bermula, seni tradisional seperti lukisan batik dan seni Nanyang sangat bagus.

“Hari ini, karya abstrak moden oleh artis senior kami sangat diminati. Penggemar tempatan benar-benar menghargai seni abstrak dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini,” katanya.

HENRY BUTCHER ART AUCTION.

Ketika senario seni Malaysia terus berkembang minat tempatan terhadap gaya dan genre seni berubah dengan ketara.

Kongsinya, terdapat juga rasa bangga terhadap negara yang kuat dilihat dalam majoriti pengumpul seni yang membeli dan menyokong seni Malaysia.

Dia juga memerhatikan bahawa pembeli di lelongan HBAA, sebahagian besarnya, terpecah antara pencinta seni yang mengumpul hasil daripada semangat dan penghargaan peribadi, dan mereka yang ingin membuat pelaburan kewangan strategik.

Beliau menambah pengumpul biasanya datang daripada lingkungan usia 45 tahun hingga 55 tahun walaupun pembeli seni yang lebih muda dan kaya semakin meningkat.

“Ramai yang terpengaruh dengan rakan sebaya mereka dan berminat dengan karya artis tempatan terkenal melalui rakan mereka,” katanya.

HBAA juga berfungsi sebagai pengirim konsainan untuk rumah lelong antarabangsa seperti Sotheby's dan Christie's.

Barangan yang dihantar ke luar negara termasuk karya seni bernilai tinggi daripada artis perintis Singapura seperti Cheong Soo Pieng, Liu Kang dan Georgette Chen.

“Dengan menjalin hubungan dengan rumah lelongan asing, kami berharap dapat membuka peluang pada masa hadapan untuk seni Malaysia mendapat pengiktirafan antarabangsa,” kata Polenn.

Sementara itu, Polenn berkata, HBAA turut meraikan legasi artis tempatan yang disegani melalui penerbitan buku seni.

“Kami berharap untuk mengeluarkan lebih banyak buku untuk artis Malaysia yang akan mendokumentasikan sumbangan seni mereka dan berfungsi sebagai biografi karya hidup mereka,” ujarnya. — The Star/NICOLE CHEW

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram