Pecut loloskan diri ketika sekatan polis, pemandu Audi kuning diburu


  • 112
  • Rabu, 22 Jan 2025

Tangkap layar video tular menunjukkan anggota polis cuba melakukan pemeriksaan sebelum kereta Audi dipecut laju.

SEPERTI adegan dalam permainan video Need for Speed yang popular, sebuah kereta Audi berkuasa tinggi berwana kuning dilihat melarikan diri daripada sekatan polis berhampiran Plaza Tol Yong Peng Utara baru-baru ini.

Kejadian yang tular di media sosial itu dengan cepat menarik perhatian warganet.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan insiden itu berlaku.

“Kejadian pada Isnin sekitar pukul 1 tengah hari berhampiran Plaza Tol Yong Peng Utara itu berlaku apabila sebuah kereta peronda polis melakukan rondaan di kawasan berhampiran dan ternampak kenderaan tersebut dipandu dalam keadaan mencurigakan.

“Polis kemudiannya membunyikan siren, menyalakan lampu strob serta mengarahkan pemandu menghentikan kenderaan dengan menggunakan pembesar suara dan isyarat tangan ” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Shahrulanuar berkata, pemandu berkenaan pada mulanya mematuhi arahan polis dengan memberhentikan kereta untuk pemeriksaan tetapi enggan memberi kerjasama lanjut.

“Pemandu itu kemudiannya menunjuk ke arah penumpang wanita yang sedang memegang bayi, sebelum bertindak nekad memecut laju kenderaannya bagi mengelak pemeriksaan lanjut.

"Tiada sebarang kejadian yang tidak diingini atau kecederaan berlaku dalam insiden itu,” tambahnya.

Video kejadian yang tular di media sosial.

Menurut Shahrulanuar, suspek telah dikenal pasti dan usaha giat sedang dilakukan untuk menjejaki serta menahan suspek bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 279 akta sama.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi talian hotline polis Johor di 07-2212999 atau talian hotline polis Batu Pahat di 07-4343999. — The Star/ MOHD FARHAAN SHAH

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram