[VIDEO] Suami isteri maut tersepit, kereta bertembung lori muatan batu di Lawas


  • 112
  • Selasa, 21 Jan 2025

Pihak bomba mengambil masa kira-kira 40 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit dalam kereta tersebut. — BBP Lawas

KISAH pilu dialami di Lawas, Limbang, Sarawak pada Selasa apabila dua warga emas maut dalam kemalangan melibatkan sebuah Proton Saga yang dinaiki mereka dengan lori membawa muatan batu.

Insiden yang berlaku pada kira-kira pukul 1.30 petang itu menyaksikan mangsa, Peranchis Nane, 67 dan Raminah Tadam, 69 meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila lori dengan muatan batu terbabit yang dalam perjalanan menuju ke bandar Lawas bertembung dengan kenderaan dinaiki mangsa dari arah bertentangan.

BACA LAGI: Sarawak sasar pengeluaran 240,000 tan padi menjelang 2030

BACA LAGI: [VIDEO] Selamba seret besi, 'rider' bawa muatan berat bahayakan pengguna jalan raya di Sarawak

“Ketika kejadian kedua-dua mangsa yang bergerak dari arah Kampung Long Tengoa bertembung dengan lori terbabit dan akibat dari pertembungan berkenaan menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit dalam kenderaan dinaiki mereka.

“Anggota terlibat mengambil masa kira-kira 40 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit dari kenderaan terbabit dengan menggunakan peralatan penyelamatan khas,” katanya menerusi satu kenyataan.

Bagaimanapun, kedua-dua mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang turut berada di lokasi kejadian.

Mayat kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan punca kemalangan masih dalam siasatan.

Sementara itu, pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan susulan kemalangan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram