KAWASAN banjir sememangnya berbahaya untuk dijadikan sebagai lokasi melakukan aktiviti terutamanya jika membabitkan kehadiran kanak-kanak.
Selain membawa risiko penyakit, ia juga boleh membahayakan keselamatan dan nyawa jika bertindak sedemikian tanpa sebarang pengawasan.
Begitu juga yang berlaku kepada seorang kanak-kanak di sebuah perumahan di Sanggar, Indonesia pada Isnin.
BACA LAGI: AGC boleh bawa kes pukul pak cik OKU ke mahkamah jika ada kesalahan — Fahmi Fadzil
Menerusi video rakaman litar tertutup (CCTV) tular di media sosial sejak Selasa, mangsa bersama beberapa kanak-kanak lain sedang bermandi-manda di dalam air banjir di lokasi tersebut.
Dalam video sama, mereka bermain di kawasan berhampiran saluran yang menghubungkan ke longkang besar.
Tanpa sebarang larangan daripada orang dewasa, mereka juga dibiarkan bermain sehingga salah seorang daripadanya hanyut dibawa arus banjir.
Mangsa juga dilihat hilang daripada pandangan begitu pantas sebelum akhirnya berjaya diselamatkan oleh beberapa orang awam di kawasan terbabit.
Menurut saksi kejadian, mangsa dapat dikeluarkan daripada longkang dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
Kejadian itu sekali gus memberi kesedaran terhadap orang ramai khususnya ibu bapa untuk lebih berwaspada dan peka dengan keadaan sekeliling. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram