PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan keputusan kerajaan untuk mengurangkan hukuman penjara kepada Datuk Seri Najib Razak yang didapati bersalah dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Dalam temu ramah dengan media berpangkalan di United Kingdom (UK), beliau mengimbau pengalaman ketika menjalani hukuman penjara sebelum ini, yang kini sedang dilalui Najib.
"Saya juga melalui 'neraka' itu dan kurungan bersendirian. Saya tidak diberi makanan luar kecuali makanan penjara. Namun, adakah saya perlu melayani Najib dengan cara yang sama? Saya katakan tidak, maksud saya, beliau adalah Perdana Menteri (sebelum ini)," katanya.
BACA LAGI: Saya bukan 'bapa' SRC International — Najib Razak
BACA LAGI: SRC International: Najib kesal, cuma tak tahu bagaimana dana masuk ke akaunnya
Hukuman penjara dan denda dikenakan terhadap Najib dikurangkan.
Bagaimanapun, Anwar masih menegaskan bahawa dia tidak akan memandang mudah terhadap sebarang bentuk penyelewengan yang berlaku sebelum ini, termasuk ketika di bawah pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau juga mendakwa, Dr Mahathir membenarkan penganiayaan terhadapnya ketika pertama kali memasukkan beliau ke penjara pada 1990-an.
"Saya diserang dan hampir mati. Saya memaafkan dan saya mahu lupakan. Tetapi, saya tidak akan mencuri daripada dana awam, berbilion dan saya tidak mempunyai kuasa untuk mengampunkan. Anda perlu memulangkannya," kata Anwar.
Pada Februari tahun lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, memberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalani Najib sejak 2022.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan beliau bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028 selain denda yang dikenakan dikurangkan kepada RM50 juta berbanding RM210 juta sebelum ini.
Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi (kini Hakim Mahkamah Rayuan) Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. — The Star/M. KUMAR
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram