SERAMAI hampir sembilan juta penerima akan menerima bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 bermula Rabu ini dengan peruntukan sebanyak RM2.3 bilion, berbanding RM2.1 bilion pada 2024.
Kementerian Kewangan berkata, sumbangan tunai itu akan memanfaatkan 60 peratus penduduk dewasa, dengan pendapatan isi rumah sekitar RM4,600.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan peruntukan bagi STR Fasa 1 jauh melangkaui kadar inflasi negara ini.
Jumlah keseluruhan kadar bantuan bagi 2025 dan wang akan diagihkan secara berfasa (Fasa 1, 2, 3, dan 4).
Ia sekali gus mencerminkan tekad kerajaan bagi memastikan kebajikan rakyat kian bertambah baik meskipun berlaku peningkatan kos sara hidup.
"Kendatipun peningkatan kos sara hidup adalah fenomena yang melanda seluruh dunia, besarlah harapan kerajaan agar peningkatan sumbangan SARA dan STR saban tahun ini dapat membantu rakyat menggapai kehidupan yang lebih berdarjat.
"Pembayaran STR akan dibuat melalui pengkreditan ke dalam akaun bank penerima atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori kelayakan masing-masing," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Selain itu, kerajaan juga menyalurkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada 700,000 penerima kategori miskin dan miskin tegar pada minggu lalu.
Bantuan SARA sebanyak RM100 sebulan dikreditkan ke dalam MyKad penerima bagi Januari hingga Mac manakala kadar bantuan akan ditingkatkan kepada RM200 sebulan mulai April nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram