MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta kebenaran untuk beliau dan peguamnya hadir semasa prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Hakim Amarjeet Singh membuat keputusan itu semasa sesi ringkas pada Isnin.
"Saya akan menulis penghakiman penuh dalam masa terdekat," kata hakim.
BACA LAGI: Mahathir nafi buat keputusan isu Pulau Batu Puteh secara bersendirian
BACA LAGI: Hingga sekarang Anwar belum buktikan saya ada bilion ringgit — Mahathir
Mahkamah tidak membuat sebarang perintah mengenai sebarang kos.
Peguam Zainur Zakaria dan Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Dr Mahathir, manakala Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan dan Nur Hafizza Azizan mewakili responden.
Sebelum ini, pada 12 Jun 2024, mahkamah sama menolak permohonan Dr Mahathir untuk kebenaran semakan kehakiman dalam usahanya mendapatkan prosiding terbuka bagi RCI berhubung isu kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Hakim Amarjeet menolak permohonan Dr Mahathir untuk melarang Tun Md Raus Sharif daripada bertindak sebagai Pengerusi RCI dan menghalang Datuk Dr Baljit Singh Sidhu dan Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir daripada menjadi ahli RCI.
Mahkamah juga menafikan permintaan Dr Mahathir untuk menangguhkan prosiding RCI sehingga penyelesaian akhir permohonan semakan kehakiman.
Bagaimanapun, mahkamah memberi kebenaran kepada Dr Mahathir untuk membincangkan sama ada bekas Perdana Menteri itu mempunyai hak untuk mendapatkan peguam mewakilinya dan untuk hadir pada prosiding RCI.
Tun Dr Mahathir Mohamad
Pada hari sama iaitu 12 Jun 2024, Dr Mahathir memberikan keterangan semasa sesi tertutup RCI.
Pada 5 Disember lalu, laporan dinyahrahsiakan yang dibentangkan di Parlimen mengesyorkan siasatan jenayah terhadap Dr Mahathir berhubung kehilangan Batu Puteh.
Suruhanjaya itu percaya Dr Mahathir mungkin sengaja memujuk Kabinet ketika itu supaya tidak meneruskan permohonan bagi semakan dan tafsiran keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan walaupun perunding antarabangsa berpendapat bahawa terdapat asas terhadap usaha semakan semula terbabit.
Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai kedaulatan ke atas Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang terletak kurang daripada satu kilometer dari pulau itu, adalah milik Malaysia.
Pemilikan Tubir Selatan yang berada kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh, akan ditentukan berdasarkan sempadan maritim negara terlibat. — The Star/NURBAITI HAMDAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram