SEORANG warga emas maut selepas dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika sedang merakamkan gambar kemalangan yang berlaku sebelum itu di Kilometer 14, Lebuhraya Iskandar Sultan, Johor pada awal pagi Ahad.
Ketua Polis Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kemalangan itu berlaku sekitar pukul 6.40 pagi melibatkan sebuah Perodua Alza dan seorang lelaki warga tempatan berusia 68 tahun.
Menurutnya, ketika kejadian, Perodua Alza yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 40 tahun dari arah Jalan Prisma menuju ke Johor Bahru sedang cuba mengelak sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV), Honda CR-V, yang terbabas dan melanggar batu konkrit pembahagi jalan.
BACA LAGI: Sempat lari 20 minit, polis tahan 2 lelaki positif dadah
"Tindakan mengelak itu menyebabkan Perodua Alza yang dipandu terbabas dan melanggar warga emas berkenaan.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), sementara pemandu Perodua Alza mengalami kecederaan di beberapa anggota badan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menyebabkan kematian angkara memandu dengan melulu atau membahayakan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut diminta menghubungi dan menyalurkan maklumat kepada Inspektor Jin Siong di talian 011-16490168 bagi membantu siasatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram