LELAKI yang dipercayai memandu melawan arus sehingga menyebabkan kemalangan dengan tiga kenderaan lain di Jalan Chain Ferry, Pulau Pinang pada Sabtu (18 Januari) ditahan polis petang Ahad.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, pemandu Mitsubishi Lancer berusia 28 tahun itu ditahan pukul 4 petang dan hasil ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah.
"Permohonan reman akan dibuat terhadap suspek bagi menjalani ujian darah serta siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada malam Ahad.
BACA LAGI: ADUN Sungai Sibuga meninggal dunia pada usia 65 tahun
BACA LAGI: Dua penuntut UTeM maut, 2 lagi rakan cedera kereta rempuh pengadang jalan di Jasin
Beliau berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis (IPD) SPU menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan berlaku kemalangan melibatkan empat kenderaan di Jalan Chain Ferry kira-kira 2.15 petang.
Beliau berkata, siasatan awal di lokasi mendapati nahas berlaku apabila kereta dipandu suspek tiba-tiba masuk ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah pacuan empat roda yang kemudian merempuh dua kenderaan lain.
Insiden itu menyebabkan dua pemandu kereta cedera ringan manakala pemandu lain tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran atau BSPT IPD SPU di talian 04-5741421,” katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial beberapa gambar dan video memaparkan kemalangan membabitkan sebuah kereta yang memandu melawan arus sebelum melanggar beberapa kenderaan lain. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram