Israel serang Hospital Kamal Adwan: MAHAR kemuka 4 tuntutan terhadap Malaysia, PBB


  • Massa
  • Sabtu, 28 Dis 2024

Serangan Israel terhadap Hospital Kamal Adwan di Gaza pada Jumaat mengorbankan lebih 50 orang awam tidak bersalah, termasuk pesakit, kakitangan perubatan, dan individu yang dipindahkan bagi mencari perlindungan. — Agensi

MALAYSIAN Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) mengecam keras serangan kejam dilakukan tentera Israel terhadap Hospital Kamal Adwan di Gaza, Palestin pada Jumaat.

Serangan itu mengakibatkan kematian lebih daripada 50 orang awam tidak bersalah, termasuk pesakit, kakitangan perubatan, dan individu yang dipindahkan bagi mencari perlindungan.

MAHAR menyifatkan serangan tersebut sebagai satu pelanggaran berat undang-undang antarabangsa yang melindungi hak asasi manusia dan tempat perlindungan perubatan.

BACA LAGI: Liga Arab beri amaran, Israel bakal hilang keahlian PBB

BACA LAGI: Jelajah 20 negara cari ilham, jurugambar amatur Serendah kongsi pengalaman gambar dibeli pelanggan Israel

Dalam satu kenyataan, MAHAR menekankan tindakan dilakukan Israel itu bukan serangan terpencil tetapi sebahagian daripada kempen lebih luas dan sistematik menyasarkan rakyat Palestin dan infrastruktur penting di wilayah tersebut.

Ujarnya, hospital dan kemudahan kemanusiaan yang sepatutnya berfungsi sebagai tempat perlindungan selamat telah bertukar menjadi tempat keganasan dan kemusnahan, memburukkan lagi krisis kemanusiaan di Gaza.

Penasihat MAHAR, Izzah Anwar, menyeru masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera dan tegas.

"Ini bukan hanya serangan ke atas Gaza atau hospitalnya, ia adalah serangan ke atas kemanusiaan itu sendiri.

"Masyarakat antarabangsa tidak boleh berdiam diri dalam menghadapi pengabaian terang-terangan terhadap kehidupan manusia dan norma antarabangsa.

"Kami menuntut kebertanggungjawaban atas kekejaman dilakukan dan tindakan pantas untuk menamatkan penindasan yang berterusan ini," katanya.

470192005_18350046874127140_2512389575922884857_n

Penasihat MAHAR, Nurul Izzah Anwar. — MAHAR

Sementara itu, MAHAR membuat beberapa empat tuntutan utama terhadap Kerajaan Malaysia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan komuniti antarabangsa.

Antaranya pertama adalah menuntut kebertanggungjawaban segera untuk jenayah perang yang dilakukan di Gaza.

Kedua, melaksanakan langkah segera untuk menamatkan pendudukan dan pencerobohan di wilayah berkenaan.

Ketiga, memberikan perlindungan terhadap orang awam terutamanya kumpulan yang terdedah seperti kanak-kanak, wanita, dan individu yang tercedera.

Terakhir, segera menyediakan bantuan kemanusiaan dan usaha untuk membina semula infrastruktur kritikal, termasuk hospital.

"Keterlibatan berterusan kuasa besar dunia yang membenarkan kekejaman ini juga mesti ditangani. Bersama-sama, kita mesti kuatkan suara kita menentang kempen penindasan ini dan menegakkan prinsip maruah serta keadilan manusia," kata kenyataan itu lagi.

Presiden MAHAR, Jismi Johari menekankan bahawa penderitaan yang dihadapi rakyat Palestin Ketika ini adalah sesuatu yang cukup sukar untuk dibayangkan.

“Rakyat Palestin telah mengalami kesukaran yang besar, tetapi semangat mereka yang tidak berbelah bahagi terus memberi inspirasi kepada kami.

"Kami menyeru kerajaan, pertubuhan kemanusiaan dan individu di seluruh dunia untuk bersatu dalam mengecam kekejaman ini dan mengambil tindakan segera untuk melindungi nyawa orang awam dan menegakkan keadilan."

Pada masa sama, MAHAR turut mengulangi komitmennya untuk bersolidariti teguh dengan rakyat Palestin dan berikrar untuk terus memberikan bantuan yang diperlukan pada masa genting. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram