Taska terlibat kes kematian bayi di Bandar Saujana Putra ditutup sepenuhnya


  • Primer
  • Isnin, 20 Jan 2025

Taska di Bandar Saujana Putra dekat Kuala Langat yang dipercayai terbabit dalam kes kematian bayi lelaki berusia empat bulan pada 3 Januari lepas telah diarahkan ditutup sepenuhnya oleh JKM.

TAMAN asuhan kanak-kanak (Taska) di Bandar Saujana Putra dekat Kuala Langat, Selangor yang dipercayai terbabit dalam kes kematian bayi lelaki berusia empat bulan pada 3 Januari lepas telah diarahkan ditutup sepenuhnya oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat negeri, Anfaal Saari berkata, arahan itu berikutan operator taska berkenaan akan menghadapi pendakwaan mengikut Akta Kanak-Kanak 2011.

"Ibu bapa kanak-kanak lain juga telah diminta oleh JKM untuk menghantar anak masing-masing ke taska lain.

BACA LAGI : [VIDEO] Misteri kematian wanita ada kesan luka terjawab lepas suami jalani ritual Dayak Kalimantan

BACA LAGI : [VIDEO] Padah leka sesaat, pekerja kilang maut kepala tersepit mesin pemampat di Turkiye

"Mungkin ada ibu bapa beranggapan ini (penutupan) bagi tempoh sementara sahaja tetapi menurut JKM, ia ditutup sepenuhnya.

"Difahamkan, kertas siasatan hampir selesai dan pendakwaan akan dilakukan dalam masa terdekat. Taska ini kekal ditutup kerana tidak berdaftar dan ada kes membabitkan Akta Kanak-Kanak," katanya ketika ditemui selepas Majlis Himpunan Wanita Selangor yang dirasmikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Isnin.

Mengulas lanjut, Anfaal berkata, menerusi lawatan awalnya ke rumah ibu bapa bayi berkenaan, beliau dimaklumkan terdapat 25 kanak-kanak yang berada di taska terbabit yang dijaga oleh dua orang pengasuh.

Beliau berkata, ia tidak menepati syarat ditetapkan JKM iaitu seorang penjaga bagi lima orang bayi berusia bawah 12 bulan.

Ketika ditanya adakah benar taska berkenaan dalam proses pendaftaran dengan JKM, Anfaal berkata, semakan jabatan itu mendapati proses berkenaan belum dimulakan.

"Malah, dua pengasuh berkenaan juga tidak pernah menduduki latihan yang ditetapkan JKM untuk mereka layak menjadi pengasuh bertauliah," katanya.

Media sebelum ini melaporkan taska berkenaan telah diarahkan ditutup pada 7 Januari selepas JKM hadir membuat pemeriksaan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram