IBU Pejabat Polis Daerah Sepang mengesahkan telah menerima laporan polis berhubung kehilangan seorang wanita, Anis Huda Amir Hamzah bersama suami dan tiga anaknya yang dilaporkan hilang pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang wanita yang juga adik kepada Anis Huda pada hari yang sama.
"Pengadu mendakwa kakaknya berusia 37 tahun bersama suaminya, yang juga berumur 37 tahun, serta dua orang anak lelaki dan seorang anak perempuan, telah keluar dari rumah mereka di Persiaran Rimba Permai dekat Sepang, Selangor pada 11.30 malam Jumaat.
BACA LAGI: Telefon dimatikan, adik rayu bantu cari kakak bersama 3 anak buah hilang sejak Sabtu
BACA LAGI: [VIDEO] Misteri kematian wanita ada kesan luka terjawab lepas suami jalani ritual Dayak Kalimantan
"Mereka dilaporkan menaiki sebuah kenderaan jenis Perodua Alza berwarna kelabu dengan nombor pendaftaran WWT 8248," katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.
Jelas Norhizam lagi, pada hari yang sama (Sabtu), keluarga mangsa menerima satu rakaman video daripada kakaknya yang menyatakan bahawa mereka sekeluarga berada dalam keadaan selamat di sebuah kawasan perkhemahan yang tidak dinyatakan.
"Pihak polis kini sedang menjalankan usaha untuk mengesan keberadaan kakak pengadu dan keluarganya bagi tujuan siasatan lanjut.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta untuk tampil dan menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Kamaruzaman Bin Shamsuddin di talian 03-83182222 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di talian 03-87774222," katanya.
Terdahulu, Majoriti melaporkan adik Anis Huda, Afina Huda Amir Hamzah tampil membuat rayuan kepada orang ramai untuk membantu mencari kakaknya, yang dilaporkan hilang.
Menurut Anis lagi, dia menjadi buntu apabila kakaknya yang bertugas sebagai seorang guru itu langsung tidak pulang ke rumah sejak Sabtu.
Sementara itu, Anis ketika dihubungi Majoriti mengesahkan mereka menerima satu rakaman video daripada kakaknya.
Dia turut meluahkan rasa syukur dan lega walaupun tidak mengetahui lokasi sebenar kakak sulungnya itu.
"Kakak tak call kami, cuma bagi video dan maklumkan dia selamat bersama anak-nak melalui video.
"Sekarang ini kami nampak kakak okay dan selamat. Buat masa sekarang kami sekeluarga menunggu kepulangan dia.
"Insya-ALLAH di mungkin akan pulang malam ini," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram