KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) bersedia menjadi pemudah cara dalam membantu menyelesaikan isu jemaah umrah yang terkandas ekoran penundaan penerbangan oleh syarikat pengendali umrah ke Tanah Suci Makkah.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Motac, Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan sebahagian mangsa yang hadir ke pejabat kementerian pada Jumaat lalu.
Menurutnya, kementerian akan memastikan segala keperluan mangsa dipenuhi dan berperanan sebagai pemudah cara antara jemaah dengan syarikat pengendali umrah, baik yang lama mahupun yang baru.
BACA LAGI: Sempat lari 20 minit, polis tahan 2 lelaki positif dadah
BACA LAGI: [VIDEO] Jodoh terlerai sudah, didenda RM15,000 antara 3 momen paling diingati Akhyar bersama JDT
Motac bersedia menjadi pemudah cara dalam membantu menyelesaikan isu jemaah umrah yang terkandas ekoran penundaan penerbangan oleh syarikat pengendali umrah ke Tanah Suci Makkah.
"Pertemuan dengan sebahagian mangsa telah diadakan pada Jumaat lalu dan sesi libat urus juga telah dijalankan bagi mencari penyelesaian terbaik," katanya ketika melancarkan Skuad Ihsan Madani Motac di Kampung Pantai Suri, Kota Bharu, Kelantan pada Ahad.
Terdahulu, kira-kira 300 jemaah umrah dilaporkan terkandas selepas penerbangan mereka ke Tanah Suci ditunda oleh syarikat pengendali umrah, Hejira Travel & Tours Holding Sdn Bhd.
Insiden itu mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan jemaah yang terjejas.
Sebagai langkah susulan, Pengarah Urusan Hejira Travel & Tours, Syarifuddin Hejira, telah membuat permohonan maaf secara terbuka dan menawarkan tiga pilihan penyelesaian kepada jemaah, termasuk pemulangan penuh wang yang telah dibayar.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak polis kini menjalankan siasatan terhadap pasangan suami isteri yang merupakan pemilik syarikat tersebut.
Siasatan dijalankan berikutan tujuh laporan yang diterima mendakwa berlakunya kes penipuan pakej umrah dengan anggaran keseluruhan kerugian yang ditanggung oleh 379 mangsa mencecah RM2.1 juta.
Shaharuddin menasihatkan semua pihak yang terlibat dalam insiden berkaitan umrah baru-baru ini agar bertenang dan memberi ruang kepada pihak polis untuk menyelesaikan siasatan.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam memilih syarikat pengendali umrah, khususnya yang menawarkan pakej pada harga yang terlalu murah.
Menurut Shaharuddin, orang ramai perlu melakukan pemeriksaan yang teliti terhadap syarikat pengendali, memastikan kemampuan syarikat tersebut untuk melaksanakan pakej yang dijanjikan.
"Perbandingan harga antara syarikat-syarikat pengendali umrah perlu dilakukan dengan berhati-hati. Elakkan memilih pakej yang jauh lebih murah daripada yang lain kerana ini boleh menjadi petunjuk kepada risiko penipuan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram