Sempat lari 20 minit, polis tahan 2 lelaki positif dadah


  • 112
  • Ahad, 19 Jan 2025

Polis berjaya menahan dua suspek yang cuba melarikan diri daripada pemeriksaan.

DUA lelaki tempatan berjaya ditahan polis selepas dikejar sejauh kira-kira enam kilometer selama hampir 20 minit, selepas melarikan diri ketika diarahkan berhenti untuk pemeriksaan.

Kejadian yang berlaku sekitar pukul 8.35 malam Sabtu bermula apabila anggota kereta peronda polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan yang sedang menjalankan operasi Op Cegah Jenayah di Jalan Harmonium, Taman Desa Tebrau, Johor mengesan sebuah kereta Mitsubishi Lancer berwarna merah dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, apabila pemandu kereta tersebut diarahkan untuk berhenti bagi pemeriksaan, suspek bertindak melarikan diri dengan memandu secara melulu dan berbahaya.

BACA LAGI: Laluan bas sesak di sempadan Thailand menjelang cuti sekolah

BACA LAGI: [VIDEO] Jodoh terlerai sudah, didenda RM15,000 antara 3 momen paling diingati Akhyar bersama JDT

Kejaran singkat itu berakhir selepas pihak polis berjaya memintas dan menahan kedua-dua lelaki tersebut.

"Suspek bergerak melalui laluan Jalan Harmonium, Jalan Badik, Jalan Tebrau hingga ke susur keluar pekan Ulu Tiram.

"Sebanyak lima kereta peronda MPV mengejar suspek sejauh enam kilometer dalam tempoh 20 minit sebelum kita berjaya menangkap suspek di lokasi apabila kenderaan mereka terhenti kerana kesesakan lalu lintas," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Raub berkata, hasil siasatan mendapati suspek bertindak melarikan diri akibat panik kerana masih dalam pengaruh dadah, memandu tanpa lesen yang sah dan cukai jalan tamat tempoh selain menggunakan kereta dengan nombor pendaftaran palsu.

Menurut Raub, pemandu kereta berusia 24 tahun yang bekerja sebagai buruh mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah, manakala penumpang kereta berusia 28 tahun, yang juga bekerja sebagai buruh tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek didapati positif methamphetamine.

"Kita turut membuat pemeriksaan ke atas nombor casis kenderaan mendapati kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu, cukai jalan tamat tempoh dan pemandu tiada lesen memandu yang sah," jelasnya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya; Seksyen 108(3)(e) APJ 1987 kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu serta Seksyen 26(1) akta sama kerana tiada lesen memandu.

"Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 23(1) APJ 1987 kerana tiada cukai jalan; Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana penyalahgunaan dadah," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram