PENIAGA pisang goreng di Johor Bahru dilaporkan berdepan kesukaran untuk mendapatkan pisang nipah ekoran tanaman pisang tersebut sudah tidak ditanam di negeri itu sejak 20 tahun lalu.
Zulkafli Jaafar, 66, yang telah berniaga pisang goreng selama empat dekad berkata, masalah tersebut bermula apabila ladang-ladang pisang di Johor diserang oleh penyakit layu Fusarium (penyakit Panama).
"Penyakit ini hanya menyerang pisang nipah, manakala jenis lain seperti pisang nangka dan pisang tanduk tidak terjejas," katanya ketika ditemui di gerainya di Stulang Walk, berdekatan Istana Pasir Pelangi.
BACA LAGI: Konsert Pinkfish: Polis sahkan ujian darah 7 mangsa positif dadah
BACA LAGI: [VIDEO] Jodoh terlerai sudah, didenda RM15,000 antara 3 momen paling diingati Akhyar bersama JDT
Peniaga pisang goreng, Zulkafli Jaafar.
Menurut Zulkafli, sebelum berlakunya wabak penyakit tersebut, bekalan pisang nipah yang biasa diperolehnya datang dari petani di Batu Pahat dan Pontian.
Zulkafli berkata, pada masa ini, dia hanya mendapatkan pisang nipah dari Sabah dengan harga RM3.50 sekilogram, sementara pisang nangka dan pisang tanduk dibekalkan oleh petani dari Johor.
Menurut Zulkafli lagi, sebelum ini, dia pernah membeli pelbagai jenis pisang dari Indonesia, Thailand dan Filipina namun terpaksa menghentikan pembelian tersebut kerana kebanyakan pisang tersebut akan rosak apabila tiba di Johor Bahru akibat tempoh penghantaran yang lama.
Walaupun menjual pisang goreng daripada pelbagai jenis pisang, Zulkafli berkata, pelanggan lebih gemar pisang nipah dan mampu menjual sehingga 100 kilogram (kg) pisang nipah setiap hari.
“Selain daripada pisang goreng, saya juga menjual ubi kayu goreng, keledek, keropok lekor dan kuih Melayu kerana jika tidak, saya terpaksa menutup kedai apabila bekalan pisang berkurangan," kata Zulkafli.
Peniaga pisang goreng, Zainal Payeng.
Sementara itu, Zainal Payeng, 50, seorang lagi peniaga pisang goreng di Taman Perling, Johor Bahru empat berkongsikan bahawa dia memerlukan sekitar 40 kg pisang nipah setiap hari.
"Setahu saya, semua peniaga pisang goreng mendapatkan pisang nipah mereka dari Sabah. Ada juga yang mendapatkan dari Kepulauan Riau, Indonesia, tetapi rasanya tidak sebaik pisang nipah dari Sabah," ujarnya.
Menurut Zainal, petani di Johor mula mengalami pengurangan hasil pisang nipah sejak 2005 hingga 2007 dan sejak 2008 hingga kini, tiada hasil pisang nipah yang diperoleh.
Tambahnya, Johor suatu ketika dahulu merupakan pengeluar utama pisang terutamanya pisang nipah, dan pernah mengeksportnya ke Singapura pada era 1990-an.
“Kami bernasib baik kerana jenis pisang lain seperti pisang nangka dan pisang tanduk tidak terjejas oleh penyakit Panama, jika tidak, rakyat Malaysia mungkin tidak dapat menikmati pisang goreng,” katanya. — The Star/ZAZALI MUSA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram