SEBANYAK 12 tiang di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) SS15 dekat Subang Jaya, Selangor kini diceriakan dengan pelbagai lukisan mural menarik menerusi Projek Sang Seni 15.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng berkata, insiatif itu merupakan ilham pejabatnya bersama Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).
"Projek ini bertujuan meningkatkan pengalaman pengguna, menyerlahkan bakat artis tempatan dan memerangi vandalisme sekali gus memberi peluang kepada artis tempatan untuk menonjolkan kreativiti mereka," katanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Padah leka sesaat, pekerja kilang maut kepala tersepit mesin pemampat di Turkiye
Sebanyak 12 tiang di Stesen LRT SS15 telah dicat di bawah projek tersebut, dengan kos sebanyak RM62,500 ditanggung oleh pejabat Michelle dan penaja, Fitline Sdn Bhd.
Jelas Michelle lagi, SS15 adalah pilihan yang sesuai untuk projek berkenaan kerana kawasan komersialnya mempunyai tempat tumpuan popular seperti kafe, kedai minuman bubble tea, dan baru-baru ini restoran ala China.
"SS15 juga merupakan lokasi lepak dan menjamu selera bagi golongan muda, kerana terdapat sekurang-kurangnya lima kolej dan universiti swasta di Subang Jaya dengan jumlah pelajar dianggarkan seramai 100,000 orang," katanya semasa lawatan tapak bersama Prasarana dan kurator projek, Muhamad Firdaus Omar.
Michelle Ng (kanan) ketika meninjau Projek Sang Seni 15 di SS15 baru-baru ini.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Integrated Development Sdn Bhd (PRIDE), Ashok Panchalingam berkata, pihaknya mahu menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam dan mural berkenaan adalah salah satu cara menarik perhatian mereka.
“Kami telah menerima maklum balas positif untuk projek ini. Kami akan terus bekerjasama dengan pihak ADUN Subang Jaya untuk projek lain pada struktur (milik Prasarana) di dalam kawasan SS15.
"Ini kerana, lokasi SS15 sering menjadi perintis untuk banyak perkara seperti mural ini. Kami juga bercadang untuk memperluaskan inisiatif ini ke tempat lain di sepanjang laluan hak Prasarana dan stesen rel,” katanya.
Walaupun Prasarana terbuka untuk memperluaskan projek mural ke struktur lain selain tiang, Ashok berkata, perkara itu bergantung kepada perbincangan dan persetujuan dengan konsesi pengiklanannya.
"Prasarana berminat untuk mencantikkan kawasan operasi mereka dan projek mural ini telah mendapat banyak perhatian dan kami ingin memperluaskannya di luar SS15," tambahnya.
PRIDE, anak syarikat Prasarana, bertanggungjawab meningkatkan pendapatan bukan tambang kumpulan itu melalui mengkomersialkan aset rel dan bas.
Seramai 12 individu terdiri daripada enam artis dan pembantu mereka mengambil masa dua minggu untuk menyiapkan mural di setiap tiang sekitar SS15.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Quest Studio, Muhamad Firdaus, dia berkata, seramai 12 individu yang terdiri daripada enam artis dan pembantu mereka mengambil masa dua minggu untuk menyiapkan mural.
"Mural itu bertemakan mobiliti, komuniti, alam semula jadi, dan elemen gaya hidup yang terdapat di sekitar SS15.
"Tema-tema ini diputuskan melalui perbincangan dengan pasukan ADUN Subang Jaya dan Prasarana,” katanya.
Jelas Muhamad Firdaus lagi, ia bukanlah satu tugas yang mudah sebaliknya cabaran utama yang dihadapi oleh para artis adalah cuaca serta lalu lintas di kawasan tersebut.
“Mereka terpaksa menghentikan kerja apabila hujan lebat.
“Studio saya juga menyediakan baju keselamatan, kon dan lampu untuk memastikan keselamatan mereka, memandangkan mereka biasanya bekerja hingga lewat malam,” katanya.
Sementara itu, Michelle turut meminta agar artis yang terlibat melukis kod QR pada tiang-tiang yang menampilkan karya mereka.
Katanya, kod itu akan menghubungkan pengguna LRT ke platform media sosial artis berkenaan, yang dapat membantu menyokong kerjaya seni mereka.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada konsesi pengiklanan BigTree, Agensi Pengangkutan Awam Darat, dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) atas sokongan dan kelulusan mereka terhadap pelaksanaan projek tersebut. — The Star/ JADE CHAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram