107 anak-anak bekas anggota GISB tak dituntut keluarga — Nancy Shukri


  • Primer
  • Jumaat, 17 Jan 2025

Nancy (tengah) ketika melancarkan Program Integrasi Kasih MADANI KPWKM sempena Penyerahan Projek Fizikal Kampung Angkat MADANI kepada komuniti Kampung Pasir Pekan Tengah, Tumpat, Kelantan pada Jumaat. — Facebook/Hajah Nancy Haji Shukri

HAMPIR kesemua kanak-kanak terlibat dengan GISB Holding Sdn Bhd yang berjaya diselamatkan sudah kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, seramai 448 daripada 560 kanak-kanak yang diselamatkan dituntut semula oleh ahli keluarga masing-masing.

Seramai 107 kanak-kanak pula ditempatkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat sama ada mengikut perintah tetap atau sementara yang dikeluarkan mahkamah. Baki lima kanak-kanak sudah diserahkan kepada penjaga yang bersesuaian.

BACA LAGI: 30 peratus kanak-kanak diselamatkan dalam Op Global babit GISB alami kecelaruan kognitif — Nancy Shukri

BACA LAGI: Kanak-kanak GISB kategori kronik, trauma jalan program pemulihan berbeza

Nancy berkata, ada ibu bapa yang cuba menuntut anak-anak mereka, tetapi ia dihalang oleh pihak tertentu untuk mereka berbuat demikian.

"Ada ibu bapa yang mahu menuntut anak mereka tetapi mungkin ada pihak menasihatkan mereka supaya tidak berbuat demikian kerana bimbang tindakan kerajaan. Saya rasa itu tidak adil.

"Sebelum ini, kami tidak menyerahkan kanak-kanak itu kerana masih menunggu laporan polis dan proses perundangan namun setelah proses itu selesai, kanak-kanak berkenaan perlu dikembalikan kepada ibu bapa mereka," ujar Nancy.

Walaupun situasi tersebut dilihat sukar kepada ibu bapa yang mahu menuntut anak-anak mereka, tetapi Nancy menjelaskan semua itu dilakukan mengikut undang-undang.

Menteri itu berkata, mereka tiada agenda tersembunyi terhadap ibu bapa yang mahu mengambil semula anak mereka.

"Kami menjalankan tugas berdasarkan undang-undang. Saya menyeru ibu bapa yang menukar fikiran supaya datang kepada kami.

"Keputusan terbaik perlu dibuat demi kebaikan anak-anak. Walaupun kami menjaga mereka dengan baik, kasih sayang ibu bapa tidak dapat digantikan," jelas Nancy. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram