[VIDEO] Pakcik 44 tahun pecah 2 cermin kereta guna batu dan pasu bunga di Kuching, positif dadah jenis syabu


  • 112
  • Khamis, 16 Jan 2025

Suspek berusia 44 tahun yang positif dadah kini direman selepas disyakit terlibat dalam kes khianat harta benda di Taman Sepawie, Kuching, Sarawak pada Rabu. — The Star

POLIS menahan seorang lelaki warga tempatan kerana terlibat dalam kejadian khianat harta benda dan api yang berlaku di kawasan perumahan Taman Sepawie, Kuching, Sarawak pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya berjaya menahan suspek berusia 44 tahun di sebuah rumah di Jalan Cenderawasih, Kuching pada Khamis.

Mohd Farhan berkata, siasatan awal mendapati suspek menggunakan batu dan pasu bunga untuk memecahkan cermin depan dua buah kereta di lokasi itu antara pukul 2 dan 2.30 pagi Rabu.

BACA LAGI: [VIDEO] Saif Ali Khan stabil lepas ditikam kena tulang belakang, doktor jumpa cebisan pisau dalam badan

BACA LAGI: [VIDEO] Teka-teki rider terduduk, tangan kiri berbalut disyaki kena serang senjata tajam di Bangsar

Katanya, suspek turut ditahan untuk siasatan berhubung kes khianat menggunakan api di kawasan sama.

"Suspek yang didapati positif dadah jenis methamphetamine (syabu) kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi pusat kawalan ibu pejabat polis Kuching di talian 082-244 444 atau pegawai penyiasat Insp Logeswara a/l Tharumalay@Krishnan di talian 018-291 4239," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang yang akan berdepan tindakan tegas.

Sebelum ini, seorang individu tidak dikenali dilaporkan mengamuk di kawasan perumahan itu sehingga merosakkan cermin depan kereta yang diletakkan di sepanjang jalan.

Menurut pengguna Facebook Jeffrey Sheffrie, bom molotov turut dibaling ke dalam perkarangan rumah sekali gus menyebabkan kawasan hadapan dan sebuah kereta terbakar.

Bomba bagaimanapun tiba kira-kira pukul 3 pagi dan segera memadamkan api tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram