[VIDEO] Saif Ali Khan stabil lepas ditikam kena tulang belakang, doktor jumpa cebisan pisau dalam badan


  • Hiburan
  • Khamis, 16 Jan 2025

Saif Ali Khan ditikam oleh seorang penceroboh di apartmennya di Bandra, Mumbai, India pada awal pagi Khamis.

PELAKON Bollywood terkenal, Saif Ali Khan, 54, kini dirawat di hospital selepas ditikam sebanyak enam kali oleh seorang penceroboh dalam kejadian di apartmennya di Bandra, Mumbai, India awal pagi Khamis.

Kejadian berlaku sewaktu beliau di rumah bersama isterinya yang juga pelakon terkenal, Kareena Kapoor serta dua anak mereka, Jeh dan Taimur.

Menurut laporan media tempatan, Saif dikejarkan ke hospital sekitar pukul 3.30 pagi dengan enam luka tikaman termasuk dua kecederaan dalaman.

BACA LAGI: Empat hari hilang lepas keluar rumah bersendirian, warga emas dari Johor Bahru ditemukan lemas di Pulau Pangkor

BACA LAGI: Dari jurutera awam ke pemanah berkuda, Shaidin turunkan ilmu kepada anak sehingga menjadi juara

Salah satu kecederaan berhampiran tulang belakangnya, dan doktor akan menilai tahap kecederaan selepas pembedahan.

Menurut doktor yang merawatnya, Saif juga cedera pada pergelangan tangan dan perlu menggunakan bantuan pakar bedah plastik.

Bukan itu sahaja, doktor turut menemui cebisan pisau di dalam badan Saif namun masih lagi meneliti tahap kecederaan yang dialami mangsa.

Pelakon itu juga kini berada dalam keadaan stabil dan mampu menggerakkan beberapa anggota badannya.

Dalam kejadian sama, anak sulung Saif, Ibrahim dilaporkan bergegas membawa bapanya ke hospital dengan menaiki beca.

Pihak polis memaklumkan bahawa suspek melarikan diri selepas kejadian dan usaha memburunya sedang dijalankan.

Polis juga belum dapat mengesahkan sama ada kejadian itu melibatkan cubaan merompak atau tidak kerana kes masih dalam siasatan.

Saif Ali Khan, anak kepada bekas pemain kriket Mansur Ali Khan Pataudi dan pelakon veteran Sharmila Tagore, adalah antara bintang Bollywood paling popular dengan lebih 70 filem dan siri televisyen dalam kariernya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram