BAGI setiap syarikat pemula yang sedang membangunkan produk pertamanya, situasi kehabisan dana dan risiko penutupan merupakan antara cabaran getir yang lazim dihadapi hamper kebanyakan daripada mereka.
Itu merupakan risiko perlu diharungi oleh mereka sekiranya produk dihasilkan tidak memberikan kejayaan segera.
Turut tidak terkecuali berdepan dengan situasi tersebut ialah Jensen Huang yang merupakan pengasas syarikat paling bernilai dalam dunia ketika ini iaitu Nvidia.
BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim
Sekitar tiga puluh tahun lalu, syarikat pembuat cip itu berada di ambang kehabisan wang tunai hanya tiga tahun selepas ia dilancarkan.
Nvidia diasaskan pada 1993 dan memperoleh modal teroka daripada Sequoia, yang merupakan firma terkenal Silicon Valley, Amerika Syarikat (AS) terulung, sebelum syarikat terbabit membangunkan produk.
Nvidia diasaskan pada 1993 oleh Jensen. — Agensi
Menurut Crucible Moments, Ketua Pegawai Eksekutif di syarikat cip LSI Logic, Wilfred Corrigan, iaitu tempat Jensen bekerja sebelum menyertai Nvidia, sangat menggalakkan Sequoia melabur dalam Nvidia.
Di sebalik model perniagaan Jensen yang masih belum meyakinkan, Wilfred kekal positif terhadap potensi dimiliki syarikat ditubuhkan oleh bekas pekerjanya itu.
Namun, menjelang 1996, Nvidia hanya berbaki tinggal sebulan sebelum kehabisan wang tunai, setelah mempertaruhkan rizabnya yang semakin berkurangan pada cip grafik 3D tidak konvensional untuk pembuat permainan video, Sega.
Apabila Jensen menyedari bahawa cip ciptaannya itu dan Nvidia bakal berdepan kegagalan sekiranya tidak menerima sebarang bantuan, beliau memberitahu Shoichiro Irimajiri, eksekutif Sega yang sedang bekerjasama dengan Nvidia, bahawa syarikatnya tidak dapat menghantar cip dikontrakkan.
Dalam keadaan tersebut, Jensen meminta Irimajiri melabur sebanyak AS$5 juta (RM22.6 juta) untuk membolehkan Nvidia terus beroperasi
Tanpa diduga, Sega memilih untuk memenuhi permintaan Jensen dengan membuat pelaburan seperti diminta.
Nvidia sentiasa mengambil langkah inovasi dalam penghasilan cipnya. — Agensi
Untuk memastikan masih ada modal mencukupi untuk membina cip itu, Nvidia mengambil pendekatan baharu untuk mereka bentuk, mengurangkan garis masa reka bentuk kepada kira-kira tujuh bulan, bukannya tempoh masa kebiasaan yang lazimnya memakan masa satu hingga dua tahun.
Untuk mencapai sasaran garis masa tersebut, Nvidia membangunkan perisian dan memperoleh simulator yang akan menguji dan membetulkan perisian sebelum proses memuktamadkan reka bentuk.
Ini bermakna bahawa perisian terbabit akan membuat ukuran sebanyak dua kali sebelum melakukan proses pemotongan terhadap cip dibangunkan.
Jensen bertaruh dengan apa yang dipanggilnya sebagai pasaran sifar bilion dolar yang cuba memberikan gambaran bagaimana sesebuah syarikat itu boleh berkembangan pantas apabila pelanggan dapat melihat nilai dibawa olehnya.
Keberaniannya itu ternyata membuahkan hasil.
Reka bentuk cipnya, Riva 128 Nvidia yang dihasilkan mempunyai ciri jauh lebih baik daripada cip grafik sedia ada.
Itu menyebabkan Nvidia langsung tidak mempunyai pesaing lain, sekali gus membolehkan syarikat terbabit menjual sebanyak sejuta unit dalam tempoh empat bulan.
Perkembangan itu membuka jalan bagi Nvidia memfailkan tawaran permulaan awam (IPO) pada 1999 syarikat.
Tindakan Jensen untuk membuat pertaruhan strategi terbabit sememangnya cukup berisiko tinggi dan ia hanya membawa kepada dua kemungkinan.
Sekiranya berjaya, ia membolehkan syarikat menjadi peneraju pasaran baharu yang berkembang pesat dengan sedikit atau tanpa sebarang pesaing.
Bagaimanapun, jika produk dihasilkan gagal mencapai tahap diperlukan, syarikat tersebut sudah pasti menempah jalan yang membawa kepada penutupan operasi.
Pada masa sama, kejayaan diperoleh juga tidak boleh meletakkan sesebuah syarikat dalam keadaan selesa.
Ini kerana sudah menjadi adat bahawa apa yang dicapai akhirnya akan turut boleh diperoleh oleh pesaing.
Jensen mula memberikan fokus terhadap pembinaan cip AI. — Agensi
Pada 2012, Jensen membuat pertaruhan baharu apabila melibatkan syarikatnya dengan penciptaan cip kecerdasan buatan (AI) dengan mengupah dan bekerjasama bersama pakar AI.
Beliau juga memastikan perisian dibangunkan untuk lebih mesra kepada AI dan seterusnya membantu pembangun menyesuaikan unit pemprosesan grafik (GPU) Nvidia buat penggunaan terhadap aplikasi selain permainan video.
Perjalanan dilalui Nvidia menunjukkan bagaimana pemimpin hebat berfikir secara berbeza.
Ketika syarikat berdepan detik getir, keazaman kepimpinan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda goyah.
Sementara ketika syarikat memperoleh laba yang besar, mereka tidak berpuas hati dengan kejayaan dikecapi.
Pada November tahun lalu, Nvidia mengatasi Apple sebagai syarikat paling bernilai di dunia selepas dengan modal pasaran mencecah AS$3.43 trilion (RM15.5 trilion) berbanding Apple, AS$3.4 trilion (RM15.3 trilion). — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram