Masuk tahun 3 beroperasi, pendapatan Kabinet Guru cecah lebih RM1 juta, prinsip bisnes siap cepat harga berpatutan


  • Bizz
  • Selasa, 14 Jan 2025

Kabinet Guru yang mempunyai kilang di Nilai menyediakan perkhidmatan pemasangan di sekitar daerah tersebut.

RENOVASI rumah merupakan satu proses yang memerlukan perancangan teliti terutamanya bahagian dapur.

Kabinet sebagai elemen utama dalam reka bentuk dapur sering kali menjadi fokus renovasi kerana ia bukan sahaja menonjolkan estetika, tetapi juga fungsinya untuk penyimpanan.

Bagaimanapun, pemilik kediaman acap kali berdepan cabaran semasa merenovasi ruang penting tersebut.

BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim

BACA LAGI: Mahu orang Sabah dapat 'vinyl' pada harga mampu milik, jurutera penyelenggara helikopter buka kedai piring hitam di Kinarut

Antara masalah lazim dihadapi kelewatan menyiapkan renovasi dan kualiti yang tidak menepati standard seperti diingini.

Menyedari isu tersebut, syarikat pembuatan dan pemasangan kabinet Bumiputera, Kabinet Guru Enterprise (Kabinet Guru) tampil menyediakan solusi ideal.

454528404_8622085474487867_1300732019476198596_n

Nadzri (tiga dari kiri) mengasaskan Kabinet Guru pada Mac 2022. — Nadzri Sazali

Tidak hanya menekankan aspek kualiti dan penawaran harga berpatutan, syarikat ini turut menjanjikan pelanggan untuk menyiapkan kabinet dapur yang direnovasi dalam tempoh tiga hingga empat minggu.

"Kita fokuskan kepada kualiti dan kelajuan. Maksudnya kalau tempah perkhidmatan kami, pelanggan tidak tunggu dua hingga tiga bulan.

"Setakat ini kami bukan sahaja memfokuskan dari segi kualiti, bahkan cuba menyiapkan dalam tempoh tiga hingga empat minggu," kata Pengarah Urusan Kabinet Guru, Nadzri Sazali.

Meskipun disifatkan 'hijau' dalam dunia perkhidmatan perabot, Kabinet Guru yang beroperasi dengan memiliki kilang pembuatan di Nilai, Negeri Sembilan tidak mengambil masa yang lama untuk membina nama.

Buktinya, baru sahaja bermula sekitar Mac 2022 syarikat berkenaan sudah berjaya mencapai pendapatan melebihi RM1 juta pada tahun ketiga ia beroperasi (2024).

358066492_249152161199109_8653624174359704663_n

Kabinet Guru tidak berkompromi soal kualiti meskipun menawarkan perkhidmatan pada harga berpatutan. — Kabinet Guru

Berkongsi kisah permulaan Kabinet Guru kepada Majoriti, Nadzri berusia 30 tahun yang mengasaskan syarikat tersebut bersama dua rakannya berkata, perniagaan itu ditubuhkan selepas dia mengalami kerugian dalam bisnes jualan bateri kereta penghujung 2021.

Ia berikutan premis menyimpan bateri kereta terletak di Shah Alam, Selangor terjejas dek banjir besar yang melanda sehingga mengakibatkan kerugian sekitar RM20,000.

Bicaranya, idea untuk menjalankan perniagaan kabinet dapur timbul daripada seorang rakannya yang sudahpun mengusahakan perniagaan sama di Kempas, Johor, lebih enam tahun.

Berbekalkan dorongan tersebut, Nadzri 'berkampung' di Johor selama tiga bulan untuk mempelajari selok-belok bisnes sebelum memulakan Kabinet Guru pada Mac 2022.

Usahawan kelahiran Senai itu memberitahu, operasinya bermula di sebuah bengkel kecil berkeluasan 279 meter persegi bermodalkan sebanyak RM50,000 daripada wang simpanannya.

Dia yang ketika itu sudah menetap di Shah Alam bersama isteri dan dua orang anak berulang alik ke Nilai lebih setahun sebelum berpindah ke daerah tersebut.

"Fasa awal kami bermula dengan dua orang staf dan menghasilkan antara tiga hingga empat tempahan kabinet sebulan.

"Biasalahnya, permulaan produk dihasilkan sedikit kerana baru nak belajar. Selepas itu melangkah 2023, kami berupaya membuat dalam lapan hingga 10 rumah sebulan.

"Alhamdulillah, kini apabila sudah berkembang dari segi staf, kapasiti dan mesin, Kabinet Guru mampu mencecah 22 rumah sebulan," ujarnya yang memaklumkan pendapatan syarikatnya pada 2024 mencecah RM1.1 juta

414666150_345437238237267_8947503009376564372_n

Kabinet Guru menjanjikan proses renovasi kabinet dalam tempoh tiga hingga empat minggu. — Kabinet Guru

Pengubahsuaian terhad

Selain pembuatan kabinet, Kabinet Guru turut menyediakan khidmat rundingan secara percuma kepada pelanggan yang datang ke kilang manakala caj RM50 dikenakan bagi kunjungan ke rumah.

Berkongsi lebih lanjut, Nadzri berkata, buat masa ini, anggaran harga ditetapkan bagi perkhidmatan pemasangan kabinet di kediaman antara RM8,000 hingga RM10,000 untuk ruang 3.0 meter hingga 3.7 meter.

Ujarnya, tawaran harga yang berpatutan boleh dilakukan kerana mereka menetapkan pengubahsuaian yang terhad kepada pelanggan.

"Apabila menerima tempahan itu, kami tetapkan kepada pelanggan agar tidak terlalu melakukan banyak ubah suai. Bimbang perubahan itu dan ini boleh menyebabkan kerja-kerja dilakukan terpaksa memakan masa.

"Bukan tak boleh tambah. Kami masih buat ikut kehendak pelanggan, tapi ada had," ujarnya.

Nadzri berkata, melalui langkah tersebut, secara tidak langsung dapat mengoptimumkan durasi menyiapkan kerja dan kos pembuatan.

Selain itu, Kabinet Guru juga menyediakan perkhidmatan pemasangan kabinet televisye, almari bilik dan rak kasut di kawasan sejauh 35 kilometer sekitar Nilai.

465009220_9238755052820903_2931263249758783064_n

Kilang Kabinet Guru yang beroperasi di Nilai. — Nadzri Sazali

Sementara itu, bergerak ke hadapan, Nadzri berkata, dia sememangnya mempunyai perancangan untuk meluaskan lagi operasi di beberapa negeri lain di Semenanjung.

"Untuk tiga tahun pertama, kami fokus untuk mantapkan operasi termasuk dari segi pengurusan.

"Apabila sudah kukuh, untuk dua atau tiga tahun ke depan baru kembangkan ke tempat lain," ujarnya yang turut melihat potensi meluaskan perkhidmatan di Melaka dan Kelantan.

Ujarnya, pengembangan tersebut berkemungkinan dilaksanakan menerusi pengambilalihan syarikat kecil yang sudah beroperasi di negeri-negeri berkenaan.

"Berkemungkinan kami akan buat pemantauan syarikat yang sesuai untuk diambil alih atau jika ada pihak ingin menjual bisnes mereka.

"Daripada situ kita akan terapkan model serupa dijalankan di Nilai," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram