MAHKAMAH Jenayah Antarabangsa (ICC) pada Khamis mengeluarkan waran tangkap untuk Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas menteri pertahanannya Yoav Gallant, enam bulan selepas permohonan dibuat pendakwa raya, Karim Khan.
Mahkamah yang berpangkalan di Hague juga mengeluarkan waran kepada Mohammed Diab Ibrahim al-Masri, ketua tentera Hamas lebih dikenali sebagai Mohammed Deif.
Ketiga-tiga pemimpin itu dituduh melakukan pelbagai jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan atas kekejaman yang dilakukan sejak 7 Oktober tahun lalu.
BACA LAGI: Liga Arab beri amaran, Israel bakal hilang keahlian PBB
Dalam kenyataannya, Dewan Pra-Perbicaraan ICC, panel tiga hakim berkata, ia telah menolak rayuan oleh Israel yang mencabar bidang kuasanya.
Dewan tersebut berkata, waran tangkap diklasifikasikan sebagai "rahsia" tetapi ia telah memutuskan untuk mengumumkannya kerana "perbuatan serupa dengan yang dinyatakan dalam waran tangkap didapati berterusan", merujuk kepada serangan berterusan Israel ke atas Gaza dan penahanan berterusan terhadap tawanan Israel oleh Hamas.
Dalam kenyataannya, Dewan Pra-Perbicaraan ICC, panel tiga hakim berkata, ia telah menolak rayuan oleh Israel yang mencabar bidang kuasanya. — Agensi
"Lebih-lebih lagi, dewan menganggap adalah demi kepentingan mangsa dan keluarga mereka bahawa mereka dimaklumkan tentang kewujudan waran itu," katanya.
Kesemua 124 negara anggota Statut Rom, perjanjian yang menubuhkan mahkamah terbabit kini diwajibkan untuk menangkap individu dikehendaki dan menyerahkan mereka kepada ICC di Hague.
Perbicaraan tidak boleh dimulakan tanpa kehadiran mereka.
Bagaimanapun, mahkamah terbabit tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan.
Ia bergantung kepada kerjasama negara anggota untuk menangkap dan menyerahkan suspek.
Khan mengumumkan pada 20 Mei lalu bahawa pejabat pendakwa telah memfailkan permohonan waran tangkap untuk Netanyahu dan Gallant, serta pemimpin Hamas antaranya Yahya Sinwar, Ismail Haniyeh dan Deif.
Haniyeh, ketua sayap politik Hamas, terbunuh di Iran pada 31 Julai, dan Israel berkata pada Ogos bahawa ia membunuh Deif, iaitu satu dakwaan yang dinafikan Hamas.
Pendakwa raya kemudiannya menarik balik waran tangkap terhadap Haniyeh dan Sinwar selepas kedua-duanya terbunuh. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram