MBDK kaji pemasangan 'log boom', kurangkan sampah mengalir di Sungai Klang


  • Primer
  • Sabtu, 11 Jan 2025

Pemasangan log boom bertujuan menapis pelbagai jenis sampah seperti botol plastik dan bahan buangan lain yang terapung di Sungai Klang.

MAJLIS Bandaraya Diraja Klang (MBDK) sedang mengkaji cadangan pemasangan log boom di Sungai Klang, Klang, Selangor sebagai usaha mengurangkan sampah yang mengalir melalui kawasan bandar.

Datuk Bandar Klang, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, pemasangan log boom itu bertujuan menapis pelbagai jenis sampah seperti botol plastik, bekas dan bahan buangan lain yang terapung di sungai tersebut.

“Cadangan ini akan dikemukakan kepada tiga agensi utama iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor (JPS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB),” katanya ketika program gotong-royong Cintai Sungai Klang anjuran MBDK di Kampung Sungai Udang, Klang.

BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki tercengang motor kena curi depan mata lepas keluar kedai runcit di Kota Bharu

BACA LAGI: [VIDEO] Rider terkulai lepas rempuh kereta tak sabar keluar simpang di Klebang Putra

Sungai Klang yang sepanjang 120 kilometer (km) mengalir dari Gombak hingga ke muara Selat Melaka berhampiran Pelabuhan Klang, melalui beberapa bandar utama termasuk Kuala Lumpur, Subang Jaya, Shah Alam, dan Klang.

“Di kawasan Klang sahaja, sungai ini merangkumi sepanjang 21 km. Kami berharap dapat meyakinkan ketiga-tiga agensi berkenaan tentang manfaat pemasangan log boom ini untuk menghalang sampah daripada terapung ke laut atau terperangkap di akar pokok bakau di tebing sungai,” jelasnya.

Bahagian Sungai Klang di Selangor adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), manakala anak syarikat Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI), Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) telah diberi mandat oleh kerajaan negeri untuk memulihkan sungai itu menerusi projek Selangor Maritime Gateway.

Cadangan pemasangan log boom adalah tambahan kepada rancangan tahun lalu yang diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim, untuk memasang log boom di 35 saliran sungai kecil yang bersambung ke Sungai Klang bagi menghalang lebih banyak sampah daripada memasuki sungai utama.

Fasa ketiga program Cintai Sungai Klang yang diadakan baru-baru ini berjaya menarik penyertaan lebih 300 orang daripada komuniti tempatan, persatuan dan agensi kerajaan.

Program berkenaan memberi fokus kepada aktiviti membersihkan sungai dan menanam pokok di kawasan sekitar.

“Sungai yang bersih adalah penting bukan sahaja untuk alam sekitar tetapi juga menyokong kehidupan nelayan tempatan dan sektor pelancongan setempat,” ujar Abd Hamid.

Beliau turut memuji keberkesanan program fasa pertama dan kedua yang menunjukkan penambahbaikan ketara terhadap kebersihan kawasan sungai yang terlibat.

Program gotong-royong kali ini menyaksikan para peserta mengutip sampah plastik dan bungkusan lama di beberapa lokasi seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Udang, Jeti Nelayan Kampung Sungai Udang serta dua rumah ibadah berdekatan.

Menurut Abd Hamid, fasa keempat program dijadualkan berlangsung pada September tahun ini sebagai kesinambungan usaha menjadikan Sungai Klang lebih bersih dan mesra alam. — The Star/EDWARD RAJENDRA

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram