KEBANYAKAN orang pasti mengenali keris yang melambangkan kekuatan orang Melayu pada zaman dahulu, tetapi mungkin tidak ramai yang pernah mendengar tentang sundang, satu lagi senjata tradisional Melayu yang penting.
Tergolong dalam keluarga keris, sundang digunakan oleh orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu, Kepulauan Sulu dan selatan Filipina.
Apa yang membezakan sundang daripada keris Melayu tradisional ialah saiz bilahnya yang lebih tebal, lebih panjang dan lebar, sama seperti pedang serta cara ia dipegang.
Menurut maklumat dari Muzium Perak di Taiping yang memetik sejarawan Malaysia, Tan Sri Abdul Mubin Sheppard, sundang berasal dari Sulawesi, Indonesia dan dibawa ke Semenanjung Tanah Melayu oleh orang Bugis pada abad ke-17.
BACA LAGI: [VIDEO] Dua hari gagal dijejak, 10 terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Colombia
Sundang dikenali dengan pelbagai nama dan memiliki ciri-ciri fizikal yang berbeza mengikut kawasan.
Pengarah Jabatan Muzium Perak, Mohd Nasrulamiazam Mohd Nasir berkata, sundang pada asalnya berfungsi sebagai lambang status dan kuasa terutamanya di kalangan kerabat diraja dan golongan bangsawan.
“Sundang yang dimiliki kerabat diraja dan golongan bangsawan biasanya mempunyai hulu yang diperbuat daripada tanduk atau gading, disalut dengan emas atau perak dan diukir dengan reka bentuk yang rumit.
“Sebaliknya, sundang dimiliki pahlawan adalah lebih ringkas kerana ia direka khusus untuk pertempuran,” ujarnya kepada Bernama.
Menurut Mohd Nasrulamiazam, terdapat pelbagai kategori sundang, antaranya Sundang Waad Laksamana yang digunakan oleh pahlawan seperti jeneral dan kapten tentera laut atau laksamana, serta Sundang Darjat yang dimiliki sultan atau bangsawan.
“Sundang Waad Ulama digunakan oleh para guru dan ulama manakala Sundang Adat pula untuk ketua masyarakat seperti ketua kampung atau ketua daerah,” jelasnya.
Tambah Mohd Nasrulamiazam, keberkesanan sundang sebagai senjata terletak pada bilahnya yang kuat, sesuai untuk hayunan dan tetakan.
"Ia berbeza dengan keris yang lebih sesuai untuk tujahan dan tikaman," katanya.
Seperti keris, menurut kepercayaan purba, sundang juga mempunyai unsur-unsur mistik.
Sebagai contoh, sundang dianggap sebagai azimat yang membawa tuah dalam urusan perniagaan selain dipercayai melindungi pemiliknya dengan memberi amaran tentang sebarang serangan secara tiba-tiba atau senyap.
Muzium Perak baru-baru ini menganjurkan “Pameran Sundang: Seni dan Kuasa”.
“Lebih 80,000 orang melawat pameran ini sepanjang enam bulan ia berlangsung, melebihi sasaran kami iaitu 30,000 pengunjung.
"Pengunjung termasuk pelajar sekolah, warga tempatan dan pelancong asing yang berminat untuk mempelajari sejarah, asal usul dan kepentingan sundang," jelas Mohd Nasrulamiazam.
Lebih 200 sundang dipamerkan dengan 171 daripadanya diperoleh daripada pengumpul persendirian dan 30 lagi daripada koleksi Jabatan Muzium Malaysia dan Muzium Perak. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram