Sedih tengok anak menangis dalam bilik, bapa kesal sekolah 'last minute' maklum tak cukup dana beri anugerah Top 5


  • Tular
  • Selasa, 14 Jan 2025

Surat rasmi yang dikeluarkan oleh pihak sekolah menyatakan pelajar berkenaan termasuk dalam senarai lima pelajar terbaik dan bakal menerima pengiktirafan pada majlis kecemerlangan sekolah pada 14 Januari.

SEORANG ayah meluahkan rasa kecewa apabila anaknya mengalami tekanan emosi setelah pihak sekolah dipercayai membatalkan penyampaian anugerah kecemerlangan pada saat-saat akhir.

Menurut individu yang hanya dikenali dengan nama Wan Muhammad, anaknya yang menuntut di sebuah sekolah rendah di Puncak Alam, Selangor menerima surat jemputan rasmi pada Khamis minggu lalu.

Menerusi surat rasmi yang dikeluarkan oleh pihak sekolah menyatakan anaknya termasuk dalam senarai lima pelajar terbaik dan bakal menerima pengiktirafan dalam majlis kecemerlangan sekolah yang sepatutnya berlangsung pada 14 Januari.

BACA LAGI : [VIDEO] Lelaki rentung tersepit dalam kereta terbakar terlibat kemalangan di Gua Musang

BACA LAGI : [VIDEO] Bola kena tepat dada, remaja lelaki tak pasal-pasal hilang nyawa ketika liga belia di Brazil

Bagaimanapun, pada petang 13 Januari, sehari sebelum majlis berlangsung, pihak sekolah menghubungi mereka dengan memaklumkan bahawa acara penyampaian anugerah untuk pelajar terbaik terpaksa dibatalkan kerana kekurangan dana.

"Tinggal esok (Selasa) sahaja hari kecemerlangan, kalau tak layak dari awal tak kisah tapi ini dah dapat surat berhari-hari dan esok harinya.

"Betapa hancurnya hati seorang budak sekolah rendah diperlakukan seperti ini. Sejam anak duduk dalam bilik sambil menangis, anak tak pernah terperuk dalam bilik," tulis Wan Muhammad.

473173285_1030375352453059_1286215136384275524_n

Surat rasmi pihak sekolah yang tular di laman media sosial.

Tambah Wan Muhammad lagi, jika pihak sekolah lebih awal memaklumkan bahawa anugerah berkenaan tidak dapat diberikan, situasi seperti itu boleh dielakkan.

Pembatalan pada saat-saat akhir ini bukan sahaja menjejaskan semangat anaknya, malah memberikan kesan mendalam terhadap keyakinan diri kanak-kanak tersebut.

Kisah tersebut juga mengundang perhatian ramai, terutama dalam kalangan ibu bapa yang turut meluahkan rasa simpati terhadap murid yang terkesan.

Rata-rata mereka menyeru pihak sekolah agar lebih bertanggungjawab dan memastikan perancangan yang teliti sebelum membuat janji kepada murid.

Insiden tersebut turut menimbulkan persoalan mengenai keperluan pihak sekolah untuk lebih peka terhadap kesan psikologi yang dihadapi oleh murid akibat keputusan yang diumumkan secara mendadak.

Setakat berita ini ditulis, pihak sekolah masih belum memberikan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram