SEORANG lelaki maut apabila kenderaan yang dipandu terbakar selepas terbabit dalam satu kemalangan ngeri di Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Gua Musang, Kelantan pada Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Nor Azizi Che Noh berkata, mangsa, Mohd Basyir Che Ali, 36, yang menaiki kereta Proton Saga itu bersama isterinya Murni Md Nor, 37, dipercayai berlanggar dengan sebuah Toyota Hilux sebelum terbabas dan terbakar.
"Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu kira-kira pukul 5.18 petang dan sampai ke lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.
BACA LAGI: [VIDEO] Bola kena tepat dada, remaja lelaki tak pasal-pasal hilang nyawa ketika liga belia di Brazil
"Setibanya di lokasi kejadian, kami mendapati kereta tersebut telah terbakar.
"Ada seorang lelaki tersepit di bahagian pemandu, manakala seorang penumpang wanita iaitu isteri mangsa sempat menyelamatkan diri dan mengalami kecederaan ringan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Seorang lelaki maut apabila kenderaan yang dipandu terbakar selepas terbabit dalam satu kemalangan ngeri di jalan Bandar Utama Gua Musang dekat Gua Musang, Kelantan pada Isnin. pic.twitter.com/wxMVWGxFU2
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) January 13, 2025
Tambah beliau lagi, pihak bomba berjaya memadamkan kebakaran dan mengeluarkan lelaki itu kira-kira pukul 5.47 petang.
"Pemandu dan dua penumpang kereta Toyota Hilux hanya mengalami kecederaan ringan, dan kesemua mereka dihantar ke Hospital Gua Musang, Kelantan untuk rawatan lanjut," katanya.
Terdahulu, tular beberapa video orang awam cuba memadamkan api kebakaran tersebut.
Namun, mangsa yang tersepit tidak dapat diselamatkan ekoran daripada api yang terlalu marak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram