SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun meninggal dunia secara tragis akibat dipercayai mengalami serangan jantung di sekolahnya di Ahmedabad dekat Gujarat, India pada Jumaat minggu lepas.
Insiden malang itu turut menjadi bualan dalam kalangan warga maya di seluruh dunia selepas video yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan insiden berkenaan mula tular di laman media sosial sejak Ahad.
Manakan tidak, tiada siapa yang menyangka serangan jantung itu boleh terjadi pada seorang kanak-kanak.
BACA LAGI: [VIDEO] Bola kena tepat dada, remaja lelaki tak pasal-pasal hilang nyawa ketika liga belia di Brazil
Tambahan pula, kanak-kanak itu didakwa sempat menyapa beberapa rakan sekolahnya sebelum kejadian tragis itu berlaku.
Memetik laporan media antarabangsa, mangsa, Gargi Ranpara merupakan seorang pelajar di Sekolah Zebar untuk kanak-Kanak di kawasan Thaltej pada waktu pagi.
Bayangkan kalau jadi pada anak sendiri? Muda-muda dah kena heart attack. pic.twitter.com/53Q0NGlOje
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) January 13, 2025
Menurut pengetua sekolah berkenaan, Sharmishtha Sinha, Gargi secara tiba-tiba pengsan sebaik sahaja dia duduk di sebuah kerusi di lobi semasa menuju ke bilik darjahnya pada waktu pagi.
"Gargi kelihatan normal ketika tiba di sekolah pada waktu pagi.
"Ketika dia sedang menuju ke bilik darjahnya di tingkat satu, dia duduk di sebuah kerusi di koridor tetapi tiba-tiba pengsan.
"Memandangkan dia mengalami kesukaran bernafas, guru-guru kami memberikan bantuan pernafasan awal (CPR) dan memanggil ambulans,"kata Sinha.
Tambah beliau lagi, pihaknya dimaklumkan oleh doktor bahawa Gargi mengalami serangan jantung.
"Mereka (doktor) cuba menyelamatkannya dan meletakkannya di alat sokongan ventilator, tetapi dia tidak dapat diselamatkan," ujarnya lagi.
Selepas mengetahui kematian kanak-kanak itu, pihak polis tempatan segera ke lokasi kejadian dan melancarkan siasatan.
"Kami menerima panggilan daripada hospital bahawa seorang pelajar sekolah telah meninggal dunia selepas dimasukkan ke hospital.
"Kami telah melancarkan siasatan dari pihak kami dan menghantar mayatnya untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematiannya," kata jurucakap polis tersebut dalam satu kenyataan.
Terdahulu, tular satu video rakaman CCTV yang dikongsi oleh pihak pengurusan sekolah memaparkan Gargi kelihatan berjalan di lobi dan menuju ke bilik darjahnya.
Namun, dalam perjalanan, dia duduk di sebuah kerusi di lobi kerana berasa tidak selesa.
Dia kemudian dilihat tergelincir dari kerusi selepas pengsan di hadapan guru dan pelajar lain yang berada di situ. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram