HUKUMAN penjara tiga bulan yang dikenakan terhadap seorang lelaki selepas mengaku bersalah mencuri setandan pisang di Rengit, Johor Rabu lalu digantikan dengan penjara 10 hari.
Keputusan itu dibuat di Mahkamah Tinggi Muar, Johor oleh hakim, Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid.
Meor Hashimi menggantikan hukuman itu dengan penjara 10 hari bermula dari tarikh ditahan, 4 Januari yang mana ia akan dibebaskan daripada tahanan pada Isnin.
Dalam penghakiman ringkas, Meor Hashimi berkata, penjara tiga bulan yang dikenakan terhadap tertuduh, Muhammad Fadil Ismail, 35, oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat adalah terlalu berat.
"Mahkamah percaya keputusan dibuat oleh majistret tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan tertuduh.
"Justeru, mahkamah memutuskan hukuman itu (penjara tiga bulan) diketepikan dengan tertuduh dipenjara 10 hari bermula tarikh ditangkap," hujahnya dalam prosiding semakan kehakiman memetik laporan BuletinTV3.
Dengan keputusan dibuat oleh Mahkamah Tinggi, Muhammad Fadil akan dibebaskan pada Isnin.
Pada prosiding itu, pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Asmah Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Semakan kehakiman itu dibuat mengikut Seksyen 323 dan 325 Kanun Prosedur Jenayah.
Minggu lalu, Muhammad Fadil dipenjara tiga bulan selepas mengaku bersalah mencuri setandan pisang milik lelaki berusia 56 tahun di Parit Jaya, Kampung Sungai Bagan Laut dekat Rengit, Johor pukul 9.45 pagi, 4 Januari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-dua manakala bagi kesalahan kedua, penjara dan denda. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram