Fahmi Fadzil bimbang kewujudan lebih banyak akaun TikTok jadikan budak sebagai konten


  • Primer
  • Jumaat, 06 Sep 2024

Tangkap layar seorang pemandu bas sekolah memuat naik video murid sekolah di dalam kenderaan itu di media sosial.

PIHAK berkuasa sedang melakukan siasatan berhubung kes seorang pemandu bas sekolah yang memuat naik video memaparkan kanak-kanak dan menulis komen tidak wajar pada kandungan tersebut, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Beliau juga mengingatkan guru-guru supaya tidak memuat naik kandungan melibatkan murid sekolah kerana ia merupakan kesalahan jenayah di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Fahmi berkata demikian selepas menghadiri Persidangan Perundangan Antarabangsa Berkenaan Ancaman Dalam Talian 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Jumaat (6 September).

BACA LAGI: Jalan Masjid India masih selamat, peniaga boleh terus beroperasi — Datuk Bandar KL

BACA LAGI: Sudah tiba masa memudah cara proses perundangan mangsa jenayah siber tuntut keadilan — Gobind Singh

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meminta TikTok mengekalkan data pemandu bas bagi memastikan semua maklumat yang perlu disiasat polis disediakan secepat mungkin.

"TikTok telah bekerjasama dengan polis setakat ini," kata Fahmi.

Tambahnya lagi, beliau bimbang bagaimana TikTok membenarkan kandungan sebegitu dimuat naik sekian lama.

"Kami tidak tahu berapa banyak akaun lain yang serupa dengan kandungan sebegitu turut berada di platform media sosial.

"Anak bawah umur 13 tahun tidak sepatutnya mempunyai akaun media sosial. Saya menyeru semua termasuk guru supaya tidak membuat kandungan yang melibatkan kanak-kanak bawah umur," jelas Fahmi.

Sebelum ini, pihak polis menahan seorang pemandu bas sekolah berusia 24 tahun selepas didakwa merakam video pelajar sekolah rendah secara rahsia dan memuat naiknya di TikTok selepas laporan polis dibuat terhadapnya pada Khamis (5 September).

Dalam ucapannya pada majlis itu, Fahmi memberi amaran kepada platform media sosial supaya bertanggungjawab dengan mematuhi undang-undang dan mematuhi sensitiviti negara.

"Melalui perundangan pelesenan (platform media sosial) yang akan kami bawa ke Parlimen pada sesi Oktober berikutnya dan laksanakan pada Januari 2025, kami ingin menghantar mesej kepada platform media sosial. Di mana pun mereka datang, mereka mesti meletakkan perlindungan untuk rakyat Malaysia.

"Kami ingin melihat landskap media sosial yang selamat untuk kanak-kanak dan keluarga," ujar Fahmi.

Jelas beliau lagi, sejak dua tahun lalu, kerajaan telah bertemu dengan platform media sosial sebanyak 21 kali untuk memberitahu supaya mengubah cara berurusan dengan scam dan menangani isu siber.

Bagaimanapun, tiada apa yang dilakukan sehingga hari ini. — The Star/ZAKIAH KOYA

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram