SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengumumkan Telegram dan WeChat yang dimiliki Tencent telah memulakan proses mendapatkan lesen diperlukan untuk mengendalikan platform mereka di Malaysia.
"MCMC memuji Telegram dan Tencent atas komitmen mereka untuk mematuhi keperluan pelesenan.
"Kedua-dua platform dijangka memenuhi keperluan yang diperlukan untuk beroperasi di Malaysia tidak lama lagi," kata pengawal selia itu.
SKMM menjelaskan bahawa keperluan pelesenan, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025 bertujuan meningkatkan keselamatan dalam talian, perlindungan pengguna dan kawal selia untuk perkhidmatan mesej dalam talian dan penyedia perkhidmatan media sosial.
Rangka kerja itu direka untuk memupuk persekitaran dalam talian yang dipercayai dan selamat dengan menggesa penyedia perkhidmatan melindungi pengguna terutamanya kanak-kanak dan kumpulan berisiko.
Rakyat Malaysia dijangka mendapat manfaat daripada keselamatan dipertingkatkan, pengalaman pengguna lebih baik dan peningkatan perlindungan terhadap kandungan berbahaya.
SKMM juga mengingatkan semua penyedia perkhidmatan yang memenuhi syarat pelesenan supaya mengemukakan permohonan mereka sebelum tarikh akhir 31 Disember ini.
Semua media sosial dan perkhidmatan penghantaran mesej dalam talian dengan sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas.
"Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan tindakan pengawalseliaan dimulakan, yang mana semua pihak cuba untuk elak," ujar SKMM. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram