
KERAJAAN terus menunjukkan komitmen yang tinggi dalam memastikan keselamatan siber rakyat terjamin melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif dan langkah proaktif.
Dalam menghadapi peningkatan ancaman siber yang kian kompleks, kerajaan bertekad untuk memperkukuh perlindungan data dan maklumat rakyat, selain menyediakan ruang maya lebih selamat buat semua pengguna internet di negara ini.
Justeru kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memperkenalkan dan menguatkuasakan pelbagai dasar serta undang-undang berkaitan keselamatan siber.
BACA LAGI: Sampai menteri pun terpikat, status lelaki bukan alasan anak jati Kota Bharu buka bisnes tudung
Antaranya penguatkuasaan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Penyedia (ASP (C)) yang mewajibkan platform media sosial mendaftar untuk mendapatkan lesen dengan badan berkanun itu.
Pada 1 Januari lalu, MCMC memaklumkan, sehingga kini empat penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial utama mengambil langkah signifikan pematuhan kawal selia dengan memohon lesen bagi membolehkan mereka beroperasi di Malaysia.
Menurutnya, Tencent (WeChat) telah memperoleh ASP (C), menjadikan mereka sebagai penyedia perkhidmatan pertama dilesenkan di bawah keperluan pelesenan tersebut.
Selepas WeChat, ByteDance (TikTok) juga berjaya memperoleh lesen, manakala Telegram di peringkat akhir proses pelesenan dan dijangka menerimanya dalam masa terdekat.
"Meta, yang menyelia Facebook, Instagram dan WhatsApp telah memulakan proses mendapatkan lesen bagi membolehkan platform berkenaan beroperasi di dalam negara dan ia dijangka dimuktamadkan tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan.
Aplikasi TikTok, Facebook, WhatsApp dan Instagram antara penyedia perkhidmatan yang diwajibkan mendaftar lesen dengan MCMC.
Bagaimanapun, jelas MCMC, X (dahulunya dikenali sebagai Twitter) dan Google, yang mengendalikan YouTube setakat ini masih belum mengemukakan permohonan masing-masing.
Menurut kenyataan itu, X memaklumkan bahawa jumlah penggunanya di Malaysia tidak mencapai nilai ambang iaitu lapan juta pengguna.
"Ketika ini, MCMC sedang meneliti kesahihan jumlah pengguna seperti dinyatakan X dan akan meneruskan sesi libat urus bagi menilai kedudukan platform tersebut," maklumnya.
Bagi Google pula, terdapat beberapa isu dibangkitkan berkaitan ciri-ciri perkongsian video di YouTube dan klasifikasinya di bawah Kerangka Pelesenan berkenaan.
MCMC sudah membincangkan isu berbangkit dan akan memastikan YouTube serta semua penyedia platform berkaitan yang memenuhi kriteria pelesenan tertakluk kepada kewajipan dan tanggungjawab untuk mematuhi Kerangka Pelesenan, yang kini sudah berkuat kuasa.
"MCMC akan menilai status penyedia platform yang masih belum mendapatkan lesen yang dikehendaki dan mempertimbangkan tindakan sewajarnya mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," jelasnya.
Status terkini pelesenan penyedia platform setakat 1 Januari lalu.
Bukan sekat kebebasan bersuara
Perkembangan itu dianggap sebagai langkah positif oleh banyak pihak, khususnya dalam usaha kerajaan untuk mengawal kandungan dalam talian, di samping memastikan keselamatan pengguna di media sosial.
Perunding Keselamatan Siber, Fong Choong Fook berkata, langkah proaktif tersebut sangat diperlukan kerana tanpa pelaksanaan undang-undang yang jelas, sukar untuk mengawal selia platform media sosial.
“Lambakan berita dan iklan palsu serta penipuan berpunca dari media sosial semakin membimbangkan masyarakat.
"Dengan adanya pelaksanaan undang-undang seperti ini, ia adalah satu usaha kerajaan untuk memastikan platform berkenaan mematuhi peraturan dan mengawal kandungan yang disebarkan,” katanya kepada Majoriti.
Mengulas lanjut, Choong Fook berpandangan bahawa pelaksanaan ASP (C) bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara rakyat Malaysia.
Sebaliknya jelas beliau, ia lebih kepada langkah proaktif menangani isu penipuan yang semakin berleluasa di dunia maya.
Choong Fook berpandangan pelaksanaan ASP(C) bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara rakyat Malaysia.
"Kebanyakan penipuan pada hari ini berpunca daripada media sosial, dengan platform berkenaan sering digunakan sebagai saluran kegiatan penipuan dan penyebaran maklumat palsu.
"Justeru pelaksanaan lesen ini adalah satu langkah yang diperlukan untuk memastikan persekitaran digital lebih selamat dan terkawal,” katanya.
Lindungi kanak-kanak dan kumpulan rentan
Beliau menjelaskan, kebimbangan kerajaan tidak hanya terfokus pada isu kritikan politik, tetapi juga melibatkan keperluan mendalam untuk melindungi kanak-kanak dan kumpulan rentan.
Choong Fook menambah, tidak dinafikan golongan ini sering menjadi sasaran penipuan, buli siber dan penyebaran kandungan tidak sesuai yang boleh memberi impak buruk kepada kesejahteraan mental serta fizikal.
"Ia bukan sahaja mengganggu ketenteraman sosial, tetapi turut merugikan ekonomi rakyat.
"Oleh itu, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas untuk memastikan platform ini mematuhi peraturan dan tidak membenarkan penipuan berleluasa,” tambahnya.
Kerajaan turut menitikberatkan keperluan mendalam untuk melindungi kanak-kanak dan kumpulan rentan.
Bagaimanapun, beliau turut mengingatkan, meskipun undang-undang atau pelaksanaan formal seperti ini diperlukan, ia mungkin belum cukup berkesan dalam memastikan platform tersebut benar-benar mematuhi peraturan.
Dalam konteks ini, Choong Fook berpendapat, selain pelesenan, hubungan kerjasama yang erat antara kerajaan dan syarikat teknologi berkenaan juga penting dalam menangani isu keselamatan siber.
“Kerajaan boleh mengarahkan penyedia perkhidmatan (aplikasi) untuk memberi maklumat mengenai individu di sebalik akaun pengguna, tetapi jika mereka tidak berhubung, kemungkinan besar kerajaan tidak dapat berbuat apa-apa.
“Jika kerajaan mempunyai hubungan yang kuat dengan platform seperti Facebook, Whatsapp atau WeChat, mereka boleh bekerjasama untuk mendepani isu penyebaran berita palsu atau penipuan dengan lebih cepat dan berkesan,” tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram