SURUHANJAYA Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengendalian isu kedaulatan membabitkan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mendedahkan pengkhianatan yang dilakukan terhadap negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“RCI mendedahkan kelemahan, dan dari sudut tertentu, pengkhianatan dilakukan kerana kita sepatutnya berjuang sehingga akhir untuk setiap inci tanah.
“Ini bukan perkara ringan, di mana sebarang kesalahan berhubung penyerahan kedaulatan kita disifatkan sebagai satu pengkhianatan besar terhadap negara.
“Tetapi, proses undang-undang mesti dihormati dan kita akan ikut itu,” kata Anwar kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Putrajaya pada Jumaat.
BACA LAGI: Permohonan Tun M mahu prosiding RCI Batu Puteh dibuat secara terbuka ditolak mahkamah
BACA LAGI: JPM tidak campur tangan siasatan RCI Tabung Haji
RCI mengenai pengendalian isu kedaulatan membabitkan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mencadangkan supaya siasatan jenayah perlu dibawa terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dalam laporan yang didedah dan dibentangkan di Parlimen pada Khamis, RCI mengesyorkan supaya siasatan ke atas kesalahan melakukan penipuan di bawah Seksyen 415(b), 417, dan 418 Kanun Keseksaan, yang mengakibatkan kehilangan Batu Puteh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ia juga mengesyorkan agar Setiausaha RCI membuat laporan polis untuk memulakan siasatan.
Laporan RCI itu akan dibentangkan dan dibahas dalam mesyuarat Dewan Rakyat semasa yang berakhir pada 12 Disember depan.
Pada Februari lalu, Kerajaan mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenankan penubuhan RCI.
Isu itu berpunca daripada keputusan dibuat Kerajaan pada 2018 untuk menarik balik permohonan Malaysia untuk menyemak keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai kedaulatan Batu Puteh.
Pada waktu itu, kerajaan dipimpin oleh Dr Mahathir.
Pada 2008, ICJ memutuskan Batu Puteh milik Singapura manakala Batuan Tengah dianugerahkan kepada Malaysia.
Ia juga memutuskan bahawa pemilikan Tubir Selatan harus ditentukan berdasarkan persempadanan perairan wilayah. — The Star/TARRENCE TAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram