Seni mural jadi medium promosi warisan Johor


  • Massa
  • Jumaat, 10 Jan 2025

Mural pertama bersebelahan pintu gerbang Jalan Tan Hiok Nee yang juga dikenali sebagai Jalan Warisan memaparkan alat muzik tradisional.

LEBIH banyak mural yang mempamerkan identiti Johor akan muncul di lokasi strategik di Johor Bahru.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Kebudayaan Negeri, K. Raven Kumar berkata, karya seni pertama bersebelahan pintu gerbang Jalan Tan Hiok Nee yang juga dikenali sebagai Jalan Warisan telah siap pada Disember.

“Mural ini menampilkan alat muzik tradisional yang sering digunakan dalam muzik ghazal Johor seperti gambus, tabla, biola, marakas, harmonium dan rebana.

BACA LAGI: Kes bunuh Zaharif: Tiada rakaman kemalangan ditemui dalam kad memori 'dashcam'

BACA LAGI: Langgar pelajar di Ipoh: Bukti sahkan berlaku perlanggaran antara motosikal dan kereta pegawai polis

“Pelukis Muhammad Nabil Mohd Azahari mengambil masa kira-kira dua minggu untuk menyiapkannya dan sebelum itu, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) membersihkan kawasan itu selama beberapa minggu.

“Kami berharap mural ini akan mempromosikan warisan Johor selain menjadi tarikan pelancong baharu ,” ujarnya dalam satu majlis pelancaran.

Raven Kumar berkata, tiga lagi mural akan ditambah di bahagian lain bandar itu sebagai persediaan menyambut Tahun Melawat Johor 2026.

"Kami sedang mengenal pasti lokasi-lokasi lain yang sesuai untuk mural ini, yang akan memaparkan elemen seperti sejarah dan makanan Johor.

"Projek ini akan bermula selepas Februari, setelah musim tengkujuh," tambahnya.

Menurutnya, kerja-kerja penghasilan mural itu akan dibiayai dengan peruntukan tambahan daripada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. — The Star/YEE XIANG YUN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram