14 pelajar Malaysia dari UCLA terkesan kebakaran di Los Angeles


  • Primer
  • Ahad, 12 Jan 2025

Seramai 14 pelajar dari UCLA terkesan kerana kediaman mereka berada berhampiran dengan lokasi kejadian.

SERAMAI 14 pelajar Malaysia daripada University of California, Los Angeles (UCLA) dilaporkan terkesan dengan insiden kebakaran besar di Los Angeles, Amerika syarikat (AS).

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan, kesemua pelajar berkenaan sudah diberikan bantuan dan rangka pelan evakuasi sekiranya diperlukan.

Menurutnya, mereka juga setakat ini berada dalam keadaan baik dan akan terus berada di kediaman masing-masing sehingga arahan terbaharu diterima.

BACA LAGI: Rumah keluarga rentung, Paris Hilton antara artis Hollywood terjejas tragedi hutan terbakar di LA

BACA LAGI: [VIDEO] Kebakaran hutan LA ragut 5 nyawa, Wisma Putra sahkan tiada rakyat Malaysia terkesan

“Melalui Pejabat Education Malaysia Los Angeles (EMLA), KPT terus memantau situasi semasa dan telah melaksanakan inisiatif pengesanan pelajar.

"Setakat ini, seramai 14 pelajar dari UCLA terkesan kerana kediaman mereka berada berhampiran dengan lokasi kejadian.

“KPT bersama Konsulat Jeneral (CG) Los Angeles juga bersetuju memberikan bantuan dan merangka pelan evakuasi sekiranya diperlukan, dengan penempatan pelajar di rumah pegawai sebagai tempat perlindungan sementara,” ujarnya.

Bagaimanapun, KPT memaklumkan, setakat ini masih tiada arahan evakuasi yang dikeluarkan oleh pihak UCLA.

Jelasnya, KPT melalui Kementerian Luar Negeri (KLN) sentiasa mengikuti rapat perkembangan situasi di luar negara terutamanya melibatkan penempatan pelajar Malaysia di negara-negara yang sedang bergolak dengan situasi kecemasan seperti rusuhan, peperangan dan bencana alam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram