
PELAKON Hollywood terkenal, Mel Gibson tampil dengan teori konspirasi berhubung kebakaran dahsyat yang berlaku di Los Angeles, Amerika Syarikat pada minggu ini.
Menerusi satu temu bual bersama pengacara Fox News, Laura Ingraham, Mel mempersoalkan sama ada kebakaran besar yang berlaku itu disengajakan untuk memaksa orang ramai berpindah daripada kawasan tersebut.
"Saya boleh membuat semua jenis teori yang mengerikan dalam kepala saya, teori konspirasi dan segala-galanya, tetapi semuanya seperti berlaku dengan agak mudah kerana tiada air.
"Kemudian berlakunya keadaan angin yang kencang dan ada orang yang bersedia dan mampu untuk memulakan kebakaran," ujarnya.
BACA LAGI: Rumah keluarga rentung, Paris Hilton antara artis Hollywood terjejas tragedi hutan terbakar di LA
BACA LAGI: [VIDEO] Kebakaran hutan LA ragut 5 nyawa, Wisma Putra sahkan tiada rakyat Malaysia terkesan
Bintang filem Mad Max kemudiannya tampil mempersoalkan dua kemungkinan bahawa teori permulaan api itu adalah kerana terdapat 'pihak ditugaskan' atau 'ia hanya terbakar sendiri'.
"Tetapi mereka yang ditangkap (kerana memulakan kebakaran) kelihatan seperti cukup bersedia.
"Saya tahu mereka (pihak berkuasa) kehabisan air dan membiarkan rizab simpanan habis untuk satu sebab atau yang lain. Mereka telah melakukan itu untuk seketika. California mempunyai banyak masalah yang membingungkan fikiran kita mengenai mengapa mereka melakukan sesuatu perkara."
"Kemudian dalam insiden seperti ini, anda terfikir, adakah ia disengajakan? Ia adalah perkara yang tidak waras untuk difikirkan.
"Tetapi seseorang mula memikirkan sama ada terdapat motif tertentu atau tidak dalam insiden ini. Apa yang mereka nak capai? Mengosongkan negeri ini? Saya tidak tahu," ujarnya.
Mel Gibson drops a bombshell on Fox News, accusing the California state government of possibly starting the fires on purpose.
Gibson says he knows the State of California was messing with the water supply of Los Angeles before the fires started. pic.twitter.com/W7mCZi7uxg
— Shadow of Ezra (@ShadowofEzra) January 11, 2025
Mel yang kehilangan kediamannya dalam bencana itu tidak bersendirian dalam teorinya termasuk dalam membangkitkan mengenai isu bagaimana kebakaran besar itu bermula.
Presiden terpilih AS, Donald Trump turut mula menyerang Gabenor Los Angeles, Gavin Newsom menyalahkannya kerana kekurangan persediaan bandar terbabit bagi menghadapi kebakaran yang berlaku.
"Dia yang dipersalahkan untuk ini.
"Gabenor Gavin enggan menandatangani deklarasi pemulihan air yang dikemukakan kepadanya yang akan membenarkan jutaan gelen air, daripada hujan berlebihan dan salji cair dari Utara, mengalir setiap hari ke banyak bahagian California, termasuk kawasan yang sedang terbakar," tulis Trump pada kenyataan di Truth Social.
Penyemak fakta CNN, Daniel Dale, bagaimanapun, menganggap kenyataan Donald sebagai 'tidak benar.'
"Kita mendengar ini daripada Donald selepas Taufan Helene pada musim luruh. Ia tidak benar dahulu dan ia tidak benar sekarang," katanya.
Wawancara Mel bersama Fox News berlaku ketika kebakaran terus marak di Los Angeles.
Lebih 180,000 orang telah dipindahkan dari rumah mereka sejak kebakaran bermula di Pacific Palisades pada Selasa, menurut NBC Los Angeles.
Ia turut melibatkan kawasan seluas 38,185 ekar dalam masa kurang daripada seminggu, menurut data Cal Fire.
Bencana itu telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 11 orang dan memusnahkan lebih 10,000 bangunan, termasuk banyak rumah agam milik selebriti terkenal di Hollywood antaranya termasuk Arnold Schwarzenegger.
Sehingga pagi Sabtu, hanya lapan peratus daripada Kebakaran Palisades berjaya dikawal.
Pada Khamis, Los Angeles County masih berusaha memadam sekurang-kurangnya enam kebakaran besar dengan kebanyakannya hampir tidak dapat dikawal.
Skala kemusnahan dahsyat yang berlaku mendorong penduduk tempatan menuntut jawapan daripada Gabenor selepas terdapat laporan mengenai ketiadaan air di pili bomba di beberapa kawasan paling teruk terkesan.
Lebih 180,000 orang telah dipindahkan dari rumah mereka sejak kebakaran bermula di Pacific Palisades pada Selasa. — Agensi
Gavin mendapat kecaman kerana mengurangkan pembiayaan untuk persediaan kebakaran hutan dan daya tahan hutan sebanyak $AS 101 juta (RM454 juta) kurang setahun sebelum kebakaran dahsyat melanda Los Angeles.
Beliau yang merupakan Gabenor daripada Parti Demokrat di California menandatangani undang-undang pemotongan belanjawan pada Jun 2024, memutuskan pembiayaan daripada tujuh program yang tertumpu mencegah dan memerangi potensi kebakaran hutan di negeri itu, lapor Newsweek.
Analisis dilakukan pengkaji turut memaklumkan pemotongan berlaku termasuk termasuk pengurangan $AS5 juta (RM22 juta) kepada pasukan pengurangan bahan api CAL FIRE, meliputi pembiayaan membayar kerja pengurusan tumbuh-tumbuhan oleh Pengawal Kebangsaan California.
Jumlah untuk program itu telah dikurangkan kepada $AS129 juta (RM580 juta), di tengah-tengah dakwaan bahawa negeri itu gagal membersihkan semak dan hutan yang mungkin telah mempercepatkan api.
Pemotongan belanjawan dilaksanakan Gavin juga menyaksikan pengurangan $AS4 juta (RM18 juta) daripada program warisan hutan yang bertujuan menggalakkan amalan pengurusan pemilik tanah, dan $AS28 juta (126 juta) daripada pembiayaan untuk pemuliharaan yang bertujuan meningkatkan daya tahan terhadap kebakaran.
Tambahan $AS8 juta (RM36 juta) juga telah dipotong daripada program pemantauan dan penyelidikan yang dilaporkan sebahagian besarnya disalurkan kepada CAL FIRE, dan $AS3 (RM13 juta) daripada hab data hutan antara agensi.
Program perintis yang bertujuan untuk menjadikan rumah lebih tahan terhadap kebakaran hutan juga dipotong pembiayaannya sebanyak $AS12 juta (RM54 juta). — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram