[VIDEO] Dua hari gagal dijejak, 10 terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Colombia


  • Benua
  • Sabtu, 11 Jan 2025

10 orang terkorban selepas sebuah pesawat kecil terhempas di barat laut Colombia pada Rabu. 

SEKURANG-KURANGNYA 10 orang terkorban selepas sebuah pesawat kecil terhempas di barat laut Colombia pada Rabu.

Pihak berkuasa pada Jumaat melaporkan bahawa, pesawat itu, yang dikendalikan oleh syarikat Pacifica Travel, pada awalnya dilaporkan hilang sejak Rabu sewaktu dalam perjalanan dari Jurado ke Medellin.

Pesawat itu kemudian ditemui terhempas di kawasan luar bandar Urrao, sebuah perbandaran di jabatan Antioquia di barat laut Colombia.

BACA LAGI: [VIDEO] Pensyarah USM jadi kebanggaan 'kaki motor', hasilkan inovasi tayar kalis pancit, tidak bocor

BACA LAGI: Kemalangan jadi titik tolak budak JB ubah laluan hidup, kejayaan di UPM bawa nama ke Universiti Oxford

Pengarah Jabatan Pengurusan Risiko Antioquia, Carlos Rios Puerta berkata, pesawat itu membawa dua kru dan lapan orang penumpang.

"Malangnya, tiada mangsa terselamat. Kami mempunyai 37 kakitangan di lokasi kejadian itu dan kami sedang mempercepatkan proses memebawa keluar semua mayat," katanya.

Tamahnya lagi, keadaan cuaca buruk menyukarkan proses mengeluarkan jasad kerana ia mesti dilakukan di kawasan darat tanpa sokongan helikopter.

"Kami sedang berusaha untuk memastikan proses ini sepantas dan sebaik mungkin," tambahnya.

Dalam pada itu, Pacifica Travel mengeluarkan kenyataan yang menyatakan komitmennya untuk menyokong keluarga mangsa.

"Kami akan bersama mereka pada setiap masa, memberikan bantuan dan memenuhi setiap keperluan yang timbul daripada peristiwa tragis ini," katanya.

Pihak berkuasa penerbangan awam kini membuka siasatan lanjut untuk mengetahui punca sebenar kejadian itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram