PERPUSTAKAAN memainkan peranan penting dalam menyokong pendidikan, penyelidikan dan pembangunan terutama dalam menerapkan budaya membaca.
Bukan sekadar tumpuan 'ulat buku', perpustakaan kini berfungsi sebagai pusat maklumat yang menyediakan pelbagai sumber dan boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat.
Tambah pula dalam era serba canggih ini, perpustakaan menjadi pusat pembelajaran yang lebih mampan dan berinovasi.
BACA LAGI: Terkandas banjir, 4 calon SPM sanggup redah naik bot bomba ke sekolah di Beluran
Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya dibuka untuk semua lapisan masyarakat. — Facebook
Berkesempatan berkongsi cerita sebagai individu berpengalaman luas dalam bidang pengurusan perpustakaan, 'Ainul Farhiah Abdul Wahab, 56, tidak menolak bahawa terdapat jurang perbezaan ketara pada sistem dan cara penggunaan perpustakaan zaman sekarang.
'Ainul yang juga berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Kanan 1 di Jabatan Pembangunan Masyarakat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sejak 1995 berkata, kewujudan perpustakaan bertujuan untuk memberi akses kepada maklumat bermanfaat dan menggalakkan minat membaca dalam kalangan masyarakat.
Ibu kepada empat orang anak itu pada masa sama ditugaskan untuk menguruskan pengurusan maklumat di Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya, mengurus pentadbiran Muzium Petaling Jaya melalui aktiviti berkaitan pembangunan, pengumpulan bahan sejarah dan pameran serta mengurus operasi pentadbiran tadika atau taska MBPJ.
Katanya, ia bukanlah satu tugas mudah kerana mereka perlu memastikan bahan bacaan disediakan sesuai untuk semua lapisan masyarakat tanpa sebarang elemen negatif yang boleh memberi kesan buruk kepada pembaca.
'Ainul juga pernah menerima Anugerah Tokoh Integriti oleh MBPJ.
"Ini pun boleh kaitkan dengan sifat integriti kami sebagai petugas. Kami perlu lebih jujur, ikhlas dalam memilih sesiapa maklumat.
"Kadang-kadang maklumat ini di hujung jari, jadi, kita kena pilih maklumat yang betul-betul bermanfaat kepada komuniti.
"Contohnya, perlu tengok tajuk, kandungan, gambar yang tidak berunsur negatif seperti promosi homoseksual atau sebagainya," katanya kepada Majoriti.
Jelasnya, buku yang mengandungi unsur sensitif dan tidak sesuai akan disimpan di akses tertutup untuk kawalan.
Bukan itu sahaja, 'Ainul berkata, terdapat juga beberapa buku-buku seni yang kadangkala tidak dapat dibenarkan untuk dijadikan sebagai bahan bacaan.
Hal ini disebabkan penggunaan gambar yang mungkin mempunyai risiko akan memberi tanggapan negatif kepada sesetengah pembaca.
"Sebab itu, integeriti adalah aspek penting dalam pengurusan perpustakaan dan pentingnya ketelusan dalam proses pembelian serta pemilihan pembekal buku.
"Semuanya dinilai berdasarkan prestasi dan kualiti tanpa sebarang unsur bias.
"Kami sentiasa memastikan semua keputusan dibuat dengan telus dan mengikut spesifikasi yang ditetapkan," tambahnya.
'Ainul pada masa sama memaklumkan bahawa perpustakaan juga memainkan peranan penting dalam pembangunan komuniti.
Terdapat pelbagai program yang dianjurkan bukan sahaja menarik minat masyarakat terhadap bahan bacaan, tetapi turut membantu mendidik mereka tentang nilai integriti dan kejujuran dalam kehidupan seharian.
Antara aktiviti yang dianjurkan oleh Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya, Selangor sepanjang 2024 adalah Bengkel Celik Kewangan Remaja, Bengkel Matematik Kanak-Kanak Sekolah Rendah, Pertandingan Catur Piala Datuk Bandar, Pertandingan Sajak Bulan Kemerdekaan, Pertandingan Bercerita Kanak-Kanak dan banyak lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram