TEMAN lelaki yang juga suspek utama mangsa pembunuhan, Yap Xin Yuan, akan dibebaskan dengan jaminan polis sementara.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, jaminan polis itu termasuk ikatan di bawah Seksyen 49 Kanun Prosedur Jenayah yang memerlukan mereka hadir ke mahkamah pada masa yang akan ditetapkan.
"Kami telah merujuk kertas siasatan (IP) kepada Unit Pendakwaan Selangor pada Khamis.
BACA LAGI: Keputusan DNA identiti mayat reput Banting dijangka Khamis
"Namun, penyiasat telah diberikan arahan lanjut berkaitan kes ini.
"Dua daripada suspek termasuk abang kepada teman lelaki mangsa akan dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman mereka tamat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Jelas beliau lagi, suspek ketiga, yang dipercayai merupakan bapa kepada teman lelaki mangsa juga telah dibebaskan kerana menjadi saksi pendakwaan.
"Kertas siasatan akan dirujuk semula kepada pendakwa raya selepas semua arahan dipenuhi.
"Kami mengambil tindakan menyeluruh untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan," katanya.
Kesemua suspek pada mulanya direman sehingga Ahad namun tempoh itu dilanjutkan sehingga Jumaat.
Terdahulu, media melaporkan laporan toksikologi dan bedah siasat akan menentukan sama ada Xin Yuan yang berusia 15 tahun meninggal dunia akibat pergaduhan atau kemungkinan penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan, berkata laporan itu penting untuk menentukan punca kematian.
"Kita perlu menunggu laporan toksikologi untuk mengetahui sama ada mangsa mengambil dadah atau tidak, jadi buat masa ini kita tidak boleh menentukan sama ada dia meninggal dunia akibat overdose.
"Kami juga sedang menunggu laporan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian. Keadaan mayat mangsa menyukarkan kerja-kerja pakar patologi," katanya.
Remaja perempuan itu dilaporkan hilang selepas menghadiri latihan tarian singa di Batu 11 dekat Cheras, Selangor pada 19 Disember lalu.
Mayatnya yang telah reput ditemui pada 28 Disember di Rancangan Tanah Baharu (RTB) Sungai Changgang dekat Banting, Selangor.
Susulan itu, polis telah membuat beberapa tangkapan selepas mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kes bunuh.
Hussein berkata, polis sedang berusaha untuk mengenal pasti siapa yang membuang mayat Xin Yuan ke sungai.
Berkaitan dakwaan bahawa polis telah mendapat pengakuan, beliau berkata, "Ada bahagian dalam siasatan yang boleh kami dedahkan dan ada yang tidak boleh.
"Kami perlu menjaga sensitiviti siasatan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram