[VIDEO] Tiada rakyat Malaysia terjejas gempa bumi di Nepal — Wisma Putra


  • Primer
  • Selasa, 07 Jan 2025

Orang ramai berkumpul di kawasan lapang berikutan gegaran gempa bumi di Kathmandu. — Agensi

KEMENTERIAN Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas dalam kejadian gempa bumi yang tercetus di kawasan barat Nepal pada Selasa.

Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan pihaknya melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu sedang memantau laporan gempa bumi berukuran 6.5 magnitud yang melanda kira-kira 84 kilometer dari Lobuche, Nepal.

"Laporan awal menunjukkan bahawa gempa bumi berlaku di barat Nepal dan Kementerian Luar sedang berkomunikasi dengan Kedutaan Malaysia di Kathmandu untuk menilai keadaan dan kesannya.

BACA LAGI: [VIDEO] Lebih seminggu bertarung nyawa, rider Brazil meninggal dunia langgar tiang elektrik ketika 'selfie'

BACA LAGI: [VIDEO] Pekerja sawit meraung lihat rakan maut dihempap serombong besi lebih 1 tan di Sumatera Utara

"Setakat ini, tiada laporan warga Malaysia terjejas akibat gempa bumi itu," katanya dalam kenyataan itu.

Wisma Putra turut menyeru rakyat Malaysia yang kini berada di Nepal digesa untuk terus berwaspada, mematuhi garis panduan keselamatan dikeluarkan pihak berkuasa tempatan dan berhati-hati selepas gempa bumi itu.

"Kementerian menasihatkan rakyat Malaysia di Nepal untuk mendaftar kehadiran mereka melalui E-Konsular dan terus berhubung dengan Kedutaan Malaysia untuk maklumat terkini dan bantuan,” katanya.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan gempa bumi kuat di wilayah Tibet terpencil di China mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang selain banyak bangunan runtuh.

Gegaran itu turut dirasai di Nepal, Kathmandu dan kawasan sekitar Lobuche di Nepal di pergunungan tinggi berhampiran Everest turut digegarkan gempa susulan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram