SEORANG wanita mengalami kerugian apabila beg miliknya dicuri dalam kejadian di medan selera di Pusat Akuatik Seksyen 13 dekat Shah Alam, Selangor pada Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, susulan itu polis kini sedang mengesan seorang lelaki disyaki mencuri beg pemilik gerai terbabit.
"Dalam kejadian pada pukul 5.19 petang, wanita itu meletakkan beg di atas meja di hadapan gerainya.
"Suspek yang menunggang sebuah motosikal telah mengambil beg tersebut, namun mangsa yang sedang membuat persediaan membuka gerai tidak menyedari kejadian berkenaan.
BACA LAGI: [VIDEO] Gara-gara kecuaian pemandu kren, bapa 4 anak maut dilibas kabel elektrik di Bukit Mertajam
"Mangsa hanya menyedari kehilangan tersebut selepas ingin mengambil begnya semula," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Polis sedang mengesan seorang lelaki disyaki mencuri beg pemilik gerai makan di medan selera Pusat Akuatik Seksyen 13 di sini, pada Khamis lalu. pic.twitter.com/vMLfw9HxUB
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) January 9, 2025
Jelas beliau lagi, beg yang dicuri mengandungi telefon bimbit dan wang tunai dengan jumlah kerugian dianggarkan RM200.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
"Pihak polis kini sedang giat mengesan suspek dan meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Hanafi, di talian 010-3728932," ujarnya.
Mohd Iqbal turut menasihatkan orang awam agar sentiasa berwaspada dan menyimpan barangan berharga di tempat yang selamat untuk mengelakkan kejadian seumpama itu berlaku. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram