SEORANG penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam satu kemalangan ngeri di Cerok Tok Kun Atas dekat Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Selasa.
Kemalangan yang dipercayai berlaku kira-kira pukul 4.47 petang itu turut menjadi buah mulut dalam kalangan warga maya.
Manakan tidak, melalui maklumat awal yang dikongsikan mendakwa, mangsa maut selepas dilibas sebuah kabel elektrik di kawasan tersebut ekoran daripada kecuaian seorang pemandu lori kren.
Menerusi perkongsian di laman Facebook Penang Kini, mangsa, Mohd Hazri Hashim meninggal dunia di tempat kejadian ekoran kecederaan parah di beberapa anggota badan.
"Kemalangan tragis di Cerok Tok Kun Atas, Bukit Mertajam petang tadi (Selasa).
"Seorang lelaki Melayu berumur 43 tahun yang menunggang motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian akibat lori kren tak turun dan 'sauk' kabel di jalan raya.
"Salam takziah kepada keluarga Mohd Hazri Hashim Semoga rohnya dicucuri rahmat. Al-fatihah, arwah yang tinggal di Taman Astana dekat Kulim, Kedah meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak yang masih kecil," tulis pentadbir halaman Facebook tersebut.
Turut tular satu video dan beberapa gambar yang memaparkan kejadian tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Helmi Aris mengesahkan kejadian terbabit.
Katanya, pemandu lori berkenaan direman tiga hari bagi membantu siasatan kemalangan tersebut.
"Dalam kemalangan kira-kira 5 petang itu, lelaki tempatan berusia 40-an meninggal dunia selepas tidak sempat mengelak kabel telekomunikasi yang terjatuh atas jalan.
"Hasil siasatan awal mendapati wayar itu terjatuh apabila ia tersangkut pada palang kren di belakang lori yang dipandu suspek berusia lingkungan 20-an.
"Pemandu lori ketika itu memandu dari arah Jalan Kulim ke Bukit Mertajam apabila palang kren di belakang kenderaannya tersangkut pada kabel telekomunikasi yang berada dalam keadaan melintang dan mengakibatkan ia (kabel) terjatuh.
"Pada masa sama datang mangsa yang menunggang motosikal dari arah bertentangan, tidak sempat mengelak, lalu mengakibatkan kabel terbabit terkena pada lehernya,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, mangsa terbabas dan jatuh di atas jalan sebelum meninggal dunia.
Katanya, mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk dibedah siasat, manakala pemandu lori sudah ditahan serta Mahkamah Majistret membenarkan reman tiga hari hingga Jumaat.
"Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mohd Ikhmal Mohd Shokri di talian 016-2500386 atau 04-5382222. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram