POLIS sudah menyelesaikan siasatan berhubung kes ugutan jenayah membabitkan anak menteri yang mendapat perhatian meluas di media sosial.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menyatakan kertas siasatan telah dirujuk kepada timbalan pendakwa raya pada Isnin lalu untuk tindakan lanjut berdasarkan undang-undang semasa.
"Kami tidak berkompromi dalam mengambil tindakan, tidak juga melindungi mana-mana pihak yang melakukan kesalahan.
BACA LAGI: Ketua Hakim Negara dedah pernah terima ugutan bunuh
BACA LAGI: [VIDEO] Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan daripada 47 pertuduhan
"Kami juga merekodkan keterangan semua yang terlibat dalam kes itu," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Kes terbabit dilaporkan kepada polis pada 1 Januari lalu.
Pihak pendakwaan mengarahkan pegawai penyiasat mendapatkan laporan kehamilan bagi seorang wanita yang mendakwa diugut oleh anak menteri.
Siasatan awal mendapati anak menteri itu telah pun mengahwini wanita itu yang dilaporkan hamil.
“Kami sedang menunggu pengesahan sijil nikah,” katanya lagi.
Razarudin menegaskan polis tidak pernah melindungi sesiapa yang melakukan kesalahan, walaupun ia melibatkan menteri atau ahli keluarga mereka.
Katanya, siasatan dijalankan secara telus dan pesalah akan dipastikan dibawa ke muka pengadilan.
Terdahulu, tular satu dakwaan di Telegram membabitkan anak seorang menteri didakwa mengugut seorang wanita yang menuntut dia bertanggungjawab ke atas kehamilannya yang ketika itu berusia tujuh minggu.
Ugutan itu dilaporkan berlaku semasa perbincangan dengan wanita itu bersama saksi lain di sebuah rumah di Telok Air Tawar, Butterworth, Pulau Pinang, pada 24 Disember lalu.
Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. — The Star/FARIK ZOLKEPLI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram