SELANG dua minggu ditahan polis, lelaki yang sama ditahan sekali lagi atas kesalahan cuba membuat ugutan bunuh pada jiran di Taman Megah dekat Kluang, Johor pada Khamis.
Tindakan lelaki yang boleh dianggap sebagai jiran dari neraka itu turut mengundang kegusaran dalam kalangan penduduk setempat kerana tingkah lakunya itu.
Manakan tidak, suspek yang tidak didedahkan namanya itu sebelum ini pernah berkeliaran membawa parang di kawasan taman tersebut.
BACA LAGI : Tak puas hati antena TV masuk kawasan rumah, penganggur ugut mahu bunuh jiran di Kluang
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, suspek ditahan ditahan polis untuk membantu siasatan selepas berlaku pertengkaran dengan jirannya pada Rabu.
"Lelaki berkenaan yang juga seorang penganggur membuat ugutan bunuh terhadap jirannya. Pergaduhan itu tercetus selepas suspek tidak berpuas hati jirannya memasang antena televisyen melepasi kawasan rumah.
"Suspek telah mengarahkan jirannya supaya mencabut antena dipasang melebihi kawasan rumahnya dan berlaku pertengkaran sebelum penganggur itu mengugut untuk membunuh.
"Bimbang dengan kejadiannya itu, jirannya berusia 30 tahun tampil ke balai polis membuat laporan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Bahrin berkata, susulan laporan itu, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Kluang, menahan suspek lelaki tempatan di rumahnya pada semalam (Khamis).
Katanya, berdasarkan rekod lampau suspek mempunyai 17 kes berkaitan dadah dan jenayah.
"Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Kluang pada hari Jumaat dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya.
Pada 30 November lalu, media melaporkan polis menahan suspek selepas videonya tular memegang parang dan berkelakuan mencurigakan di Taman Megah.
Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methapetamine pada hari kejadian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram