Pemandu lori ditahan polis di Kuching disyaki ugut bunuh Baby Shima


  • 112
  • Rabu, 01 Jan 2025

Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai bertindak mengugut bunuh Baby Shima.

LELAKI berusia 35 tahun ditahan selepas didakwa mengeluarkan komen berbaur ugutan bunuh terhadap penyanyi, Baby Shima menerusi laman Facebook.

Suspek yang juga merupakan pemandu lori itu ditahan di Kota Sentosa, Kuching, Sarawak sekitar pukul 9.15 malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, polis akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek di mahkamah Sibu, pada Rabu.

"Pada 30 Disember, pukul 11.31 malam, polis menerima satu laporan daripada mangsa, seorang artis perempuan bahawa dia terbaca satu komen yang dibuat oleh suspek tidak dikenali di platform media sosial dengan kenyataan berbaur ugutan dan mengancam keselamatannya.

"Mangsa berada di Sibu ketika ini atas urusan kerja," katanya.

Zulkipli berkata, polis merampas telefon pintar milik suspek untuk siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Baby Shima atau nama sebenarnya, Nor Ashima Ramli membuat laporan di Balai Polis Sibu, dengan ditemani Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, pada 30 Disember lalu.

Laporan polis itu dibuat susulan komen seorang pengguna Facebook supaya Baby Shima berhati-hati sekiranya tidak mahu pulang sebagai mayat.

Sementara itu, Zulkipli turut menyeru orang ramai supaya lebih bertanggungjawab dalam membuat sebarang komen atau memuat naik apa-apa kenyataan di platform media sosial, supaya tidak melampaui batas dan menyalahi undang-undang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram