
SELAMA hampir enam tahun, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berdepan pelbagai kritikan dan tentangan daripada orang ramai ketika menjadi Ketua Hakim Negara.
Di sebalik segala perkara yang berlaku itu, ia langsung tidak menganggu beliau untuk melaksanakan tugasnya.
Dalam ucapannya sebagai Ketua Hakim Negara sebelum persaraannya pada Julai depan, Tengku Maimun merefleksi kembali perjalanannya menerajui badan kehakiman negara ketika Pembukaan Tahun Undang-undang 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada Rabu.
BACA LAGI: Ketua Hakim Negara dedah pernah terima ugutan bunuh
BACA LAGI: [VIDEO] Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan daripada 47 pertuduhan
"Sebagai Ketua Hakim Negara, saya telah dikritik, difitnah, dilabel tidak Islamik atau musuh Islam. Suami saya (secara tidak adil) telah digunakan kepada (untuk menyerang) saya dalam beberapa permohonan untuk bukan sahaja meminta saya menarik diri tetapi lebih umum untuk memalukan saya dan rakan sejawatan saya.
"Tiada satu pun daripadanya pernah dapat menembusi ujian hati nurani saya dan segala puji bagi ALLAH, saya tidak pernah bimbang disebabkan komen-komen ini," katanya.
Tengku Maimun berkongsi bahawa pada awal pelantikannya sebagai Ketua Hakim Negara wanita pertama, beliau disoal mengenai tindakan bakal dilakukan sekiranya terdapat mana-mana pihak berpengaruh atau kuasa eksekutif memintanya memutuskan sesuatu kes dengan cara tertentu.
Tengku Maimun (dua dari kanan) sudah berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara selama enam tahun.
Menurut beliau, jawapannya ketika itu ialah dirinya tidak akan tunduk atau patuh kepada mana-mana orang tidak kira setinggi mana kedudukan mereka.
"Saya di sini untuk menjalankan tugas saya. Saya tidak pernah mengidamkannya, tetapi dengan izin ALLAH SWT, saya telah diamanahkan untuk mengetuai badan kehakiman," katanya.
Tengku Maimun berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara di bawah empat perdana menteri daripada gabungan politik berbeza; Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dan sekarang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Sepanjang tempoh ini, panel kehakiman yang diketuai oleh saya telah membuat keputusan yang betul yang kami yakini sebagai keputusan yang betul mengenai undang-undang dan fakta, tanpa mengira kehangatan unsur politik yang menyelubungi beberapa kes ini.
"(Perkara) ini sahaja sepatutnya menepis sebarang tanggapan tidak berasas bahawa saya pernah memihak kepada mana-mana perdana menteri atau mana-mana parti politik," tambahnya. — The Star/NURBAITI HAMDAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram