SEORANG pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret Mersing, Johor atas tuduhan membunuh pemandu lori yang mayatnya ditemukan di dalam but sebuah kereta pada bulan lalu.
Menurut laporan Buletin TV3, tertuduh, Hasbullah Adam berusia 36 tahun sekadar mengangguk tanda memahami pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret, Nurkhalida Farhana Abu Bakar.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
BACA LAGI: Pemandu lori terlibat kes penemuan mayat dalam bonet kereta di Mersing didakwa Khamis
BACA LAGI: Kereta dinaiki sekeluarga bertembung lori treler di Mersing, 8 termasuk 2 kanak-kanak nyaris maut
Mayat seorang pemandu lori ditemui dalam bonet kereta miliknya oleh orang awam.
Mengikut pertuduhan, Hasbullah didakwa membunuh Shakirin Mohammad, 28, di antara pukul 6.10 pagi pada 26 Disember hingga pukul 1.50 tengah hari 28 Disember lalu di tepi Jalan Jemaluang-Kahang, Mersing.
Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan membawa hukuman mati atau penjara di antara 30 hingga 40 tahun dengan sebatan minimum 12 kali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Foo Fang Leong, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Azlan Bohari.
Fang Leong dalam hujahnya, memaklumkan tiada jaminan dibenarkan kerana pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mahkamah menetapkan 27 Februari sebagai tarikh sebutan semula untuk serahan laporan kimia, forensik dan laporan bedah siasat.
Kereta mangsa ditemui di Jalan Jemaluang-Mersing pada Disember.
Sebelum ini, media melaporkan mayat lelaki tempatan berusia 28 tahun dijumpai dalam keadaan berpakaian lengkap dalam but kereta miliknya dengan kesan kecederaan di leher pada 28 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani, dilaporkan berkata dendam dipercayai menjadi motif utama pembunuhan sebelum mayat mangsa ditemui dalam but kereta jenis Proton Waja di Kilometer (KM) 26 Jalan Jemaluang-Kahang.
Bertindak atas maklumat risikan, pasukan siasatan khas yang ditubuhkan membuat tangkapan seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia 30-an di Johor Bahru pada pukul 4.30 pagi 29 Disember lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar pada Rabu dilaporkan berkata, suspek lelaki yang ditahan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala wanita pula dibebaskan dengan bon mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah sebagai saksi pendakwaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram