[VIDEO] Pemandu Wira warga Pakistan lari lepas langgar 2 motosikal di Kangkar Tebrau, dakwa bimbang kejadian buruk berlaku — Polis


  • 112
  • Rabu, 08 Jan 2025

Tangkap layar orang awam mengejar dua lelaki warga Pakistan meninggalkan lokasi kemalangan di Jalan Tun Fatimah dekat Kangkar Tebrau, Johor Bahru pada Isnin.

TINDAKAN lelaki warga Pakistan melarikan diri selepas terbabit dalam satu kemalangan melibatkan beberapa kenderaan lain di Jalan Tun Fatimah dekat Kangkar Tebrau, Johor Bahru, Johor pada Isnin mengundang kecaman warga maya.

Melalui video yang dikongsikan di media sosial pada Selasa, beberapa orang awam dilihat mengejar kenderaan jenis Proton Wira berkenaan yang memecut laju dari tempat kejadian.

Difahamkan, insiden itu berlaku selepas pemandu warga asing tersebut melanggar dua buah motosikal di lokasi kejadian.

BACA LAGI: [VIDEO] Pemandu, kelindan maut lori bawa besi masuk gaung di LPT1

BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki meraung kesakitan, patah kaki motosikal dirempuh warga asing di Serendah

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan kejadian terbabit.

"Warga Pakistan berusia 25 tahun itu meninggalkan lokasi kemalangan kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini.

"Warga asing itu tampil membuat laporan di balai berdekatan dan mendakwa terpaksa memecut dari lokasi kejadian yang berlaku kira-kira 6.30 petang Isnin bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

"Kemalangan itu membabitkan sebuah Proton Wira dan dua motosikal Yamaha Y15ZR dan Honda RS150," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jelas beliau lagi, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta warga Pakistan itu keluar dari simpang untuk membelok ke kanan jalan.

"Pada masa sama, sebuah motosikal yang sedang bergerak lurus dari arah kanan gagal mengelak lalu melanggar bahagian kanan hadapan kereta itu, manakala sebuah motosikal dari arah kiri turut gagal memberhentikan kenderaan dan melanggar bahagian kiri kereta," katanya.

Jelas beliau lagi, tiada kecederaan serius dilaporkan kecuali seorang penunggang motosikal sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

Katanya, punca kemalangan akibat kecuaian pemandu kereta, namun siasatan lanjut dibuat mengikut Rule 3(2)(B) LN166/59 dengan tiada tangkapan dilakukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram