Anugerah MiSHA ke-4 bakal saksikan 150 pengiktrafan sektor keselamatan dan kesihatan pekerjaan 


  • Massa
  • Selasa, 07 Jan 2025

Anugerah MiSHA merupakan satu usaha pengiktirafan terhadap pelbagai sektor industri yang komited dalam meningkatkan tahap pengurusan risiko keselamatan, kesihatan dan alam sekitar di tempat kerja. 

SEBANYAK 150 penghargaan akan ditampilkan pada Majlis Anugerah Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Perindustrian Malaysia (MiSHA) sebagai usaha mengiktiraf pencapaian organisasi terpilih dalam sektor Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan sepanjang 2024.

Acara gemilang kali keempat itu akan berlangsung di Royale Chulan Kuala Lumpur pada 17 Januari ini dengan menyaksikan penyampaian anugerah tertinggi MiSHA iaitu MiSHA Platinum Awards on OSH Principle of Prevention (OSHPoP) 2024.

Anugerah istimewa itu akan disampaikan sendiri oleh Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad yang dijangka hadir bagi memeriahkan acara eksklusif itu.

BACA LAGI: KKM, MiSHA teroka potensi kerjasama tingkat penjagaan kesihatan paru-paru pekerja industri berisiko tinggi

BACA LAGI: MiSHA-UTM terokai kerjasama dengan UBT Jeddah dalam bidang keselamatan dan kesihatan

Majlis itu juga diadakan bagi meraikan organisasi-organisasi yang telah berjaya melaksanakan strategi dan amalan pengurusan ancaman berdasarkan rangka kerja OSHPoP dengan mengiktrifaf kecekapan mereka memastikan suasana selamat diwujudkan di tempat kerja, selari dengan visi kerajaan melalui Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021-2025.

Selain itu, majlis anugerah berkenaan bertujuan menyatukan pemegang taruh industri, para profesional keselamatan serta pihak yang berkaitan melalui dedikasi bersama dalam meningkatkan prestasi keselamatan tempat kerja di Malaysia.

Penglibatan MiSHA bersama-sama Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (DOSH) dan komuniti OSH membenarkan majlis anugerah ini untuk menyediakan persekitaran yang kondusif bagi para peserta untuk melibatkan diri dan berkongsi pengetahuan dengan pemegang taruh melalui aktiviti rangkaian perhubungan.

Misha

Anugerah MiSHA yang berlangsung pada 2023 mengiktiraf pelbagai organisasi yang menekankan tahap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

MiSHA sentiasa komited untuk membantu perniagaan dan individu tempatan dalam usaha untuk meningkatkan prestasi kesihatan dan keselamatan mereka.

Mula diadakan pada 2021, Anugerah MiSHA merupakan satu usaha pengiktirafan terhadap pelbagai sektor industri yang komited dalam meningkatkan tahap pengurusan risiko keselamatan, kesihatan dan alam sekitar di tempat kerja.

Kali ini, pemilihan pemenang menerusi akan dinilai menerusi tahap keberkesanan langkah kawalan Risiko OSH yang dilaksanakan oleh organisasi berdasarkan sembilan prinsip asas langkah pencegahan iaitu antaranya mengelakkan risiko, mengenalpasti risiko yang tidak boleh dielakkan, menangani risiko dari awal, penyesuaian tugas kepada individu, penyesuaian kemajuan teknikal dan beberapa lagi.

Sesi pemilihan juga diadakan dengan dua cara iaitu menerusi fizikal dan dalam talian dengan melibatkan penyenaraian peserta secara jemputan oleh panel.

Bagi penilaian untuk 3 kategori utama iaitu MiSHA Platinum Awards on OSH Principle of Prevention (OSHPoP) 2024, MiSHA Diamond Awards on OSH Principle of Prevention (OSHPoP) 2024

MiSHA Golden Awards on OSH Principle of Prevention (OSHPoP) 2024, para auditor akan turun ke lokasi untuk membuat penilaian secara terperinci.

Manakala baki anugerah yang lain diadakan secara pembentangan dalam talian melibatkan organisasi telah disenarai pendek sebagai calon penerima.

Sebagai rekod, antara penerima anugerah utama terdahulu termasuk Petronas Gas Berhad Segamat (Pusat Operasi) pada 2024 dan PETRONAS Gas Melaka pada 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram