LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan memperkenalkan sistem dan perkhidmatan pemotongan cukai bulanan baharu (e-PCB Plus) menerusi portal MyTax yang akan menggantikan sistem e-PCB, e-Data PCB dan e-CP39 sedia ada.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, organisasi itu berkata, perubahan tersebut bermula dengan pengenalan e-PCB PlusPhase 1 pada 24 September tahun lalu yang melibatkan pendaftaran kesemua majikan menerusi PCB.
"Berikutan pelaksanaan sistem baharu ini, majikan dikehendaki menyelesaikan segala pengisian data serta bayaran PCB untuk semua potongan gaji bulanan sama ada yang terkini atau tertangguh sebelum 15 Januari depan.
BACA LAGI: Penduduk Sepang disaran isi borang bantah nilai baharu Cukai Taksiran
BACA LAGI: MPKj tambah 17 lagi lokasi kutipan caj parkir babit 3,206 tempat letak kereta
Majikan perlu menyelesaikan pengisian data sebelum pelaksanaan sistem baharu itu.
"Bermula tarikh itu, PCB sedia ada hanya akan boleh diakses bagi tujuan semakan bagi membolehkan kesemua majikan memeriksa maklumat terdahulu dan rekod PCB. Fungsi lain seperti pengisian data, pengiraan dan pembayaran PCB akan ditutup," katanya.
LHDN berkata, pihaknya akan mengumumkan tarikh ditetapkan bagi pelaksanaan penuh PCB Plus sebelum dibuka secara rasmi kepada majikan serta pengguna selain menasihati majikan supaya mendaftar sistem baharu tersebut.
Untuk maklumat lanjut, hubungi Pusat Hubungan Hasil (HCC) dengan menghubungi 03-89111000/603-89111000 (untuk pertanyaan di luar negara) atau melalui sembang langsung dan sistem maklum balas Hasil yang boleh didapati di https/maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram