Mahkamah Tinggi perintah Muhyiddin bayar Guan Eng RM400,000 sebelum penghujung 2024


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Muhyiddin (kanan) untuk membayar ganti rugi sebanyak RM1.4 juta kerana memfitnah Guan Eng (kiri). — The Star

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin memerintahkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membayar RM400,000 kepada Pengerusi DAP, Lim Guan Eng sebelum penghujung 2024.

Jumlah itu adalah separuh daripada jumlah ganti rugi dalam saman fitnah yang perlu dibayar iaitu sebanyak RM1.4 juta oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) seperti ditetapkan mahkamah pada 8 November lalu.

Dalam prosiding itu, Hakim Roz Mawar Rozain membenarkan penangguhan hukuman bersyarat terhadap Muhyiddin dengan memerintahkannya membayar RM400,000 sebelum 31 Disember dan bakinya sebelum atau pada 27 Januari 2025.

BACA LAGI: Mahkamah perintah Muhyiddin bayar Guan Eng RM1.35 juta kerana menfitnah

BACA LAGI: Tiada SOP tahan jenazah sebab bil tertunggak, KKM perjelas dakwaan mayat tak dituntut di hospital kerajaan

Sebelum ini, mahkamah memerintahkan Muhyiddin Yassin untuk membayar ganti rugi tersebut kerana memfitnah Guan Eng berhubung penyalahgunaan kuasa dalam isu pembatalan pengecualian cukai Yayasan Al-Bukhary.

Dalam keputusannya, Roz Mawar berkata, Muhyiddin mempunyai sumber yang boleh digunakan untuk mengesahkan fakta terbabit.

"Namun, dia tidak berbuat demikian dan terus membuat kenyataan berbaur fitnah terhadap plaintif (Lim) selepas plaintif membawa kepada perhatiannya tentang kepalsuan dakwaan sedemikian yang berunsur fitnah," katanya.

Bekas menteri kewangan itu mendakwa kenyataan yang berunsur fitnah itu memberi gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan kedudukan dan kuasanya dengan mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan itu, sedangkan ia tidak sepatutnya dikenakan cukai.

Roz Mawar kemudiannya mendapati Guan Eng berjaya membuktikan kesnya terhadap Muhyiddin melalui prinsip imbangan kebarangkalian, iaitu beban pembuktian bagi proses tuntutan saman sivil.

Beliau sehubungan itu, memerintahkan Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri membayar ganti rugi am kepada Guan Eng sebanyak RM1.05 juta, dan ganti rugi teruk serta teladan masing-masing berjumlah RM150,000.

Muhyiddin turut diperintahkan membayar kos berjumlah RM50,000 kepada Guan Eng. — The Star/NURBAITI HAMDAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram